Yang Terindah lama disepikan. Hiks. Saya tahu ramai rindu. Hahaha. Maafkan saya ya. ;( Ni manuskrip yang telah diubah (Message dah takde, saya kena tukar jadi WhatsApp, ubah beberapa plot jadi lebih kemas dan tak semua saya paparkan di blog ya)
Ohh...saya fikir perlu ubah ke satu tajuk yang lain, sebab tajuk Yang Terindah dah ada novel lain terbit di bawah Alaf21 karya Anis Ayuni. Tapi itulah, tajuk ni dah melekat kan dengan Yang Terindah. Sayangnyaaaaa
Okey, enjoy reading!
“Mama?” sapa anak kecilku perlahan. Aku memerhati suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pelancong asing, pemandu teksi, rakyat Malaysia dan ramai pekerja yang ke hulur dan ke hilir atas tuntutan kerja dan masa masing-masing. Berpusu-pusu berjalan dan suasananya membuatkan hati kembang berbunga-bunga.
Oh, aku sudah jejakkan kaki ke Malaysia. Beberapa jam di dalam perut kapal terbang, akhirnya sampai juga aku di sini. Aku memandang Fifi yang mengenyitkan matanya, “Ya sayang!”
“Fifi laparlah mama.” Fifi menggosok perutnya. Aku ketawa kecil dan menggelengkan kepala dengan telatahnya. Pantas mataku menangkap sebuah restoren makanan segera yang turut sama menjadi kegemaran Fifi.
“Okey, kita pergi restoren tu. Fifi suka kan?” Aku tunduk dan membetulkan baju anakku itu. Fifi angguk dan tersenyum mengiayakan saranan dariku. Kami lantas berpimpinan. Beg bagasi milikku aku tarik perlahan. Fifi turut sama mesra mahu menarik beg bagasinya yang comel. Terkedek-kedek dia berjalan bersama denganku. Sekejapan kami masuk dan kini menjadi pelanggan setia mereka. Aku berdiri sambil menanti pesanan diambil. Beratur panjang sebegini menguji tahap kesabaran. Kerana Fifi, aku gagahi juga. Kerana mahu mengalas perut yang mula berkeroncong, aku tegap berdiri melayani karenah Fifi.
Beberapa minit kemudian, urusan pesanan selesai. Aku bersama dulang dan makanan yang dipesan terus bergegas mencari meja. Fifi mengikut sahaja aku. Nampak sangat dia sudah lapar dan mahu menikmati makanan segera ini. Kentang goreng dan burger pun jadilah. Asalkan Fifi diam dan mengikut sahaja rentak aku.
“Sini mama!” jerit Fifi di sebelah kananku. Dia menunjukkan sebuah meja dengan dua buah kerusi yang betul-betul berada di hadapan restoren ini. Aku angguk bersetuju dengan pilihannya. Pantas kami duduk. Jemari runcing mengagihkan makanan dan jemari Fifi turut lincah menyusun atur air dan sos. Menu tersedia. Perut sudah berkeroncong minta diisi. Ah, nyamannya rasa hari ini kerana lari sekejap dari mengadap muka Aizul. Fifi mestilah lagi seronok. Tak perlu bergaduh selalu dengan Aizul yang mengongkong pergerakan kami berdua. Itu tak boleh, ini tak boleh. Ah, bosan!
“Terima kasih mama. Fifi baca doa, okey?” Fifi memandang aku dengan senyumannya.
“Sama-sama sayang. Okey. Mama tadah tangan. Fifi bacakan doa.” Aku meletakkan kembali burger yang belum sempat dibuka bungkusannya. Suara comel Fifi lantas bergema. Kami sama-sama mengaminkan doa yang telah dibaca oleh Fifi. Fifi lantas menyuap kentang goreng kesukaannya. Dia nampak berselera sekali dan tidak perasankan langsung suasana yang sudah berubah di sekelilingnya. Angin yang berbeza dengan New York. Persekitaran yang memang berbeza dengan bandaraya besar di sana. Tidak ada lagi musim salji menemani kami, tidak ada lagi musim luruh kesukaan Fifi juga musim bunga yang paling aku gemari. Kami kini di Kuala Lumpur dan akan kembali mengayam kehidupan kami berdua di sini. Mampukah aku bersama dengan anak kecil ini? Aku pandang Fifi yang kusyuk mengunyah burgernya pula. Kemudian diselang-selikan dengan air kesukaannya.
Aku buka perlahan bungkusan burger pilihanku. Suapan pertama kini di mulutku. Aku kunyah dengan perlahan. Mataku lantas terpandangkan pemuda yang aku jumpai di dalam kapal terbang beberapa jam tadi. Dia sedang berbual-bual dengan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari kami. Terangguk-angguk dan kemudian bersalaman. Dia kacak menggalas sebuah beg berwarna coklat di bahunya. Dia tersenyum dan senyumnya itu sudah sah-sah meragut jiwa ini. Sekali lagi, minda mengatur untuk mata ini menilik wajah kacaknya.
Aku gigit bibir. Untuk orang lain, aku tidak pasti apa istilah kacak itu. Tapi ya, dari pandangan mataku, aku senang sekali melihat gerak tubuh dan wajahnya.
Aku letakkan kembali burger berkenaan. Mulutku lantas mengunyah laju dan aku sedut air yang masih penuh isinya. Aku amati lagi tingkahnya. Bulu romaku meremang tiba-tiba.
“Kenapa mama?” Fifi memandang aku. Dia jelas terpegun kerana melihat aku yang tergamam secara tiba-tiba. Aku masih menelitinya yang berjalan bergerak melalui restoren ini. Sekejapan sahaja dia melalui kami dengan gaya jalannya yang sederhana dan sentiasa menguntumkan senyuman kepada sesiapa sahaja di sini. Aku menggeletar secara tiba-tiba. Menelan air liur dan tidak semena-mena aku bangun mengikut susuk tubuhnya.
“Mama?” Fifi pantas bertanya kerana melihat aku yang bangun secara tiba-tiba. Aku pandang Fifi segera. “Fifi dengar cakap mama, okey?” Pantas kepalaku ke kiri dan ke kanan memerhatikan kawasan restoren ini. Aku pegang bahu Fifi.
Fifi memandang aku penuh minat. “Kenapa mama?”
“Fifi duduk sini. Jangan pergi mana-mana. Sesiapa yang datang mahu apa-apa, jangan layan dan Fifi duduk di sini. Jangan ke mana-mana, Okey? Tunggu mama. Sepuluh minit tau. Jangan pergi mana-mana.” Aku memberikan arahan dengan cepat dan tepat kepada anakku. Mata Fifi terkebil-kebil!
Pantas aku tolak kerusi dan mataku melilau lagi mencari tubuhnya yang semakin mengecil dari pandangan mata kasarku. “Mama nak pergi mana?” pintas Fifi segera. Aku bangun memandang Fifi.
“Ingat pesan mama. Jangan pergi ke mana-mana. Tunggu mama kat situ okey. Habiskan burger dan kentang goreng. Minum air!” Lantas aku bergerak meninggalkan anakku bersendirian. Fikiranku bercelaru tiba-tiba. Sanggup pula aku meninggalkan Fifi keseorangan terpinga-pinga kerana aku mahu mencari pemuda berkenaan.
Kegilaan apakah yang berlaku dengan aku kala ini?
Kakiku pantas bergerak. Ke kiri dan ke kanan. Aku berlari perlahan mencari susuk tubuhnya. Masuk ke sebuah kedai cenderamata kerana kali terakhir aku melihat dia di dalam kedai ini. Puas aku mencari dan mencuba mendapatkannya. Tetapi hampa. Aku berlari keluar. Sehingga melanggar beberapa pelanggan kedai berkenaan yang sedang sibuk memilih cenderamata. Lantas aku kutip cenderamata yang terjatuh dan memberikan semula kepada dua orang pelancong asing berkenaan. “I’m sorry! Sorry…” Aku menundukkan kepala tanda memberi hormat kerana baru aku perasan bahawa pelancong ini adalah dari negara Jepun. Anggukanku dibalas dengan senyuman oleh mereka berdua.
Pantas kaki ini berjalan laju lagi. Sekejapan aku berlari dan sekejapan aku berjalan. Hampa. Susuk tubuh badannya langsung tidak kelihatan lagi. Aku mendengus marah. Ah- aku memang membuang masa mencari pemuda yang kelihatan serupa seperti wajahnya.
Bukankah ini pembaziran namanya. Nur Cahaya, jangan terlalu emosi dan membawa perasaan gila itu. Sudah-sudahlah. Tolonglah Nur Cahaya! Suara Aizul terngiang-ngiang di cepu mindaku. Aku biarkan pesanan Aizul itu berlalu pergi. Ya- Aizul sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menentukan kehidupanku. Jiwa, perasaan dan hati ini adalah milik mutlakku. Siapa dia untuk setiap nasihatnya itu?
Aku berjalan lagi menuju ke sebuah kedai. Mencari-cari jika terdapat ‘dia’ yang sedang aku cari. Hampa lagi. Aku mendengus kesal. Bodohkah aku kerana bersikap sebegini? Bodohkah aku kerana memenatkan diri sendiri dan melakukan kerja yang sia-sia ini?
Dan seberapa deras aku berlari mencarinya, seberapa laju peluh yang membasahi belakang bajuku, aku tetap tidak menemuinya. Aku tercungap-cungap kepenatan. Sehingga aku melihat sebuah bangku kosong dan dengan tergesa-gesa aku mendapatkannya. Penat ini harus aku redakan segera. Fikiranku kosong tiba-tiba. Aku meraba poket seluarku. Haruskah aku kembali mengambil kembali ubat penenang ini?
Aku duduk tanpa rasa apa-apa melainkan penat dan hampa. Aku tarik nafas untuk bertenang dan sewajarnya aku harus berfikir secara waras sebelum berkejaran mencarinya sebegini. Sudah berbakul-bakul nasihat yang Aizul dan kawan-kawanku pesankan kepadaku. Semuanya bagaikan masuk telinga kiri dan keluar kembali melalui telinga kanan. Degilkah aku untuk menghapus segala kenangan dan bayangan wajah arwah suamiku itu? Sudah bertahun-tahun aku mencubanya.
Aku pejam mataku. Aku mampu! Ya, aku mampu mengatasi resah ini.
Bayangan wajah pemuda berkenaan lantas menggangu lagi. Terasa terapung-apung tubuh badanku kerana kepenatan mengejarnya. Wajah Fifi lantas terbayang tiba-tiba.“Mama!” Suara Fifi menjerit menggegar halusinasi diriku. “Mama mana? Mama?!”
Aku buka mataku.
Ya Allah. Fifi. Anak mama! Fikiranku cepat berproses segera. Aku bangun kembali dan bergegas berlari kembali. Aku semakin keliru kerana kawasan ini bukan tempat yang selalu aku tujui. Hanya beberapa kali aku menjejaki tempat ini dan mana mungkin untuk aku menghafal setiap sudut dan ceruk kawasan sebesar ini.
Aku bukan berada di New York. Bahkan aku tidak pernah meninggalkan Fifi sendirian di mana-mana bila anakku itu berada di sana. Dan Fifi? Anak mama? Di mana Fifi sekarang, Ya Allah. Jantungku berdegup kencang. Suara Fifi menjerit, meminta tolong bagaikan terngiang-ngiang. Wajah ketakutan Fifi menjelma lagi. Aku kehilangan upaya tiba-tiba. Kepenatan berkejaran mencari susuk bayang wajah ‘dia’ menjerumuskan aku dengan perkara yang merugikan diri sendiri.
Di manakah Fifi anakku itu? Di manakah Fifi tanda cinta kami itu? Ya Allah, bantulah aku. Aku yang bersalah, Ya Allah.
Air mata mencurah-curah laju. Aku bagai orang gila ke kiri dan ke kanan. Aku yang bersalah kerana membodohkan diri sendiri. Mama yang salah, Fifi! Mama yang salah! Aku pantas berlari lagi. Mencari restoren makanan segera, tempat di mana aku tinggalkan Fifi beberapa minit tadi. Tetapi Fifi tiada. Meja yang kami duduki telah dibersihkan.
“Anak saya. Nampak anak saya, Fifi?” Aku bertanya sesiapa sahaja yang cuba menenangkan diriku. Kakiku berlari tanpa mempedulikan beberapa orang yang prihatin bertanyakan mengenai Fifi. Pelayan restoren dan pelanggan di dalam restoren terpinga-pinga dengan tangisan aku. Aku kesat air mata. Jemariku menggigil tiba-tiba. Apa yang perlu aku buat sekiranya benar anakku Fifi hilang? Mama yang salah sayang. Mama yang betul-betul bodoh sayang. Maafkan mama. Dalam berlari, aku kesat air mata dan memanggil-manggil nama Fifi.
Aku terjelepuk lesu di atas kemasan lantai. Ruang legar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menjadi saksi. Aku terlalu penat dan aku tidak berupaya untuk berfikir lagi. Telefon pintar sudah menyanyi minta diangkat. Lantas aku ambil perlahan-lahan. Aku kesat air mata. Nama Aizul tertera saat ini. Ah – dia lagi.
Lemah sahaja mulut ini keluarkan suara. “Fifi!
“Kenapa dengan Fifi?!” soal Aizul lekas.
“Fifi hilang!” Aku menangis tanpa menjawab beberapa soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut Aizul. Walau aku jengkel dengan sikapnya, kehilangan Fifi tetap aku maklumkan. Suara marah dan tengkingan Aizul tidak aku pedulikan kala ini. Aku terkedu diam di situ. Lantas aku dikerumuni. Telefon tidak aku matikan tetapi aku diamkan di atas lantai di sebelahku. Aku mendongak sambil mengesat-ngesat air mataku. Apa yang perlu aku buat kala ini? Apa yang perlu aku lakukan ketika tidak ada sesiapa yang aku kenali di sini? Adakah aku perlu terbang kembali ke New York? Bagaimana dengan Fifi yang tiba-tiba menghilangkan diri.
Buntu. Fikiranku kosong.
Seorang wanita lantas membimbing aku untuk bangun. Telefonku lantas dikutip seorang lelaki dan diberikannya kembali kepadaku. Aku dipujuk sambil bibir ini bergetar-getar menyebut nama Fifi.
“Mama!” Fifi dengan lolipop yang tersumbat di mulutnya muncul tiba-tiba. Aku terperanjat dan tanpa segan silu terus meluru ke arah anakku dan memeluknya. Menciuminya seolah-olah aku telah kehilangan Fifi dan baru ketemu dengannya. Mengusap-ngusap rambut Fifi dan menciumi lagi pipi serta dahi anak kesayanganku itu.
“Mama minta maaf. Mama yang salah dan mama janji tak biarkan Fifi keseorangan lagi. Mama minta maaf, sayang.” Fifi ketawa dan mengesat-ngesat pipinya kerana rimas dengan gomolan dariku. Beberapa orang yang mengerumuni aku lantas tersenyum. Ada juga menggeleng-gelengkan kepala dengan telatah aku yang mengejutkan suasana persekitaran KLIA.
“Uncle Adib yang temankan Fifi makan. Tunggu mama lama sangat, Uncle Adib bawa Fifi jalan-jalan. Hmm… UncleAdib ada belikan Fifi lolipop. Sedap tau. Mama nak?” Fifi lantas mengeluarkan lolipop dan menghulurkannya ke mulut aku. Aku terkesima tiba-tiba.
UncleAdib? Dahiku berkerut-kerut.
“Mama kan dah pesan dengan Fifi jangan keluar dengan orang yang tak dikenali. Tunggu sampai mama datang.” gertakku dan aku membetulkan rambut Fifi lagi. Aku mengucapkan syukur berulang kali kerana Fifi berada di hadapanku kini. Bayangan menakutkan mengenai Fifi lantas terpadam.
“Mama lama sangat. Mama kata sepuluh minit saja. Uncle Adib akhirnya yang temankan Fifi.” Fifi tersenyum dan menarik tanganku segera menuju ke sebuah kedai. Sebuah kedai dipenuhi coklat dan cenderahati.
“Mama tunggu kat luar ya. Fifi panggilkan UncleAdib. Sekejap ya.” Fifi lantas terkedek-kedek berlari masuk ke dalam kedai berkenaan. Aku menanti dan mengesat mataku yang berbekas dengan air mata. Tudung aku rapikan. Hari yang penuh dugaan untuk aku. Kalaulah betul Fifi hilang, apa yang akan berlaku dengan aku ya? Aku gelengkan kepala, takut betul aku kalau betul Fifi hilang.
Tiga minit kemudian, sepasang ‘bear’ berwarna merah jambu dan ungu muda dipeluk oleh Fifi yang meluru keluar ke arahku. Fifi tersengih-sengih geli hati.
“Untuk mama warna merah jambu.” Fifi menghulurkan patung beruang berkenaan kepadaku. Aku tersenyum mengambilnya dan mengangkat wajahku. Pantas aku memandang seorang lelaki yang digelar, Uncle Adib oleh Fifi.
Jantung berdegup kencang. Hei. Hei. Hei. Bukankah di mataku kini ialah dia yang aku cari tadi?
“Kata Fifi, arwah papanya sukakan warna purple. Dia pun nak jugak warna purple. Saya belikan untuk mama Fifi warna merah jambu sebab Fifi kata awak sukakan warna merah jambu.” Suaranya pantas kedengaran. Kami berpandangan lagi. Aku telan air liur.
Kakiku melangkah setapak ke belakang. Gemuruh! Mata kami saling berhubungan. Dia merenung aku dengan sungguh aneh sekali. “Saya belikan Fifi sebakul coklat. Untuk awak juga, Puan Nur Cahaya. Nanti makan ya!” Suaranya melantun-lantun dan menyerap jauh ke dasar jiwaku. Fifi tersengih suka hati. Ah – nama penuhku juga dia sudah tahu. Pastinya Fifi yang sibuk-sibuk menyebut nama penuh aku kepada dia.
Kali ini, aku terkesima.
Dan lagi, jiwaku lantas beralun dengan tenangnya melihat wajah lelaki ini. Dia yang aku kejari tadi, dia yang membenarkan kaki ini melangkah berkejaran mengejarnya dan dia juga seolah-olah membenarkan aku membuat satu perkara bodoh dalam hidupku. Dia juga yang menyebabkan aku meninggalkan Fifi keseorangan.
Bodohkah aku mengejarnya tadi dan saat ini Allah akhirnya membenarkan aku melihat wajah lelaki ini untuk kali kedua. Dia jungkitkan kening.
Lantas aku menawarkan senyuman yang 8 tahun dahulu telah lama menghilang. Senyuman yang menyegarkan dan darahku terasa menyerbu-nyerbu bergelodak. Terasa urat-urat segar dan cas-cas positif lantas bercantum kembali.
Untuk kesian kalinya dalam hidupku, adakah Allah swt menawarkan cinta untuk hati ini? Lelaki itu masih berdiri tegak dan kini dia sedang membalas senyumanku.
Hei. Hei. Hei.