"Kalau Ana tak pujuk Nad jauhi Tan, abang akan beritahu fasal Maleq."
...."Dan abang akan nikahkan Nad dengan Maleq hujung bulan ni jugak!!"

"Kiranya kau dah jenis spesis yang sama macam Amelia. Nad, Tan akan kahwin dengan Jia Wei tahu tak? Kau pun nampak yang diorang gigih berpegangan tangan jalan-jalan berdua beli cincin minggu lepas." Bib hembus nafas. Pening kepala dia dengan Nad yang seorang ini.
"Masalahnya aku tak tahu kenapa aku okey dan tak kisah pun." Nad menelan air liur.
Bib bulatkan biji mata. Mula rasa marah dengan Nadratul Nisa’. "Kau akan jadi perampas tunangan orang. Lagi pulak bakal jadi suami orang, Nad!"
"Hidup kena diteruskan." Nekad bunyinya. Sebab malam tadi, Tan menghulurkan sebentuk cincin yang cantik kepada dia. 'I pilih cincin ni untuk you. Jia Wei dapat satu.'
'I akan kahwin dengan you Nad. Bukan Jia Wei.' Suara Tan mengganggu lagi mindanya. Bangun saja dari tidurnya di atas sofanya, kepalanya terlentok betul-betul di atas bahu Tan. Tan juga sedang tidur dengan nyenyak. Perlahan-lahan dia bangun dan memerhati wajah Tan. Selang beberapa saat, dia memerhati jam di pergelangan tangan. Serentak itu, menggelepur Nad mengejutkan Tan dan cepat-cepat mereka berdua menikmati Yam Ring yang sudah sejuk.
“Amboi, tidur tak ingat dunia. I kejutkan you sepuluh kali tau tak?” Suara Tan muncul lagi. Kenangan manis malam tadi berlayar-layar di cepu minda. Nad senyum manis.
“Sorry. I kemas rumah you sampai tertidur. Tunggu cef Tan masak lambat sangat. Tu yang I lepak-lepak kat sofa empuk you tu. Tengok-tengok tertidur.”
“Cef Tan lambat. Serba serbi lambat.” Mata Tan terus menjamah dahi Nad yang telah disentuhnya. Sengih nakal. Angkat kening. Tan menarik kerusi. Terus duduk di atas kerusi. Nad terus menerpa membuka tudung saji.
“Errr… sebelum makan I nak buat satu pengakuan.” Tan tayangkan gigi. Mata terus menjamah wajah kesayangannya.
Wajah Nad teruja. Retina mata terus memandang Yam Ring yang tersedia. “Sedapnya bau Yam Ring ni. Nanti bagi I resipi ya. Mesti lagi best kan sebab you yang masak. Haaa..” Nad sudah bersedia untuk makan. Duduknya di sebelah Tan kini. Terus Nad menoleh memandang pipi Tan. “Pengakuan? You nak mengaku apa? Heii..cepatlah you. Dah jam 1 pagi ni. Nanti nak kena hantar I balik lagi.”
“Errrr…” Tan muncungkan bibir. “Tuu…tu..” Bola mata pandang dahi Nad. Dia sengih lagi.
Nad angkat biji mata ke atas. “What? Kenapa dengan dahi I?” Nad pusingkan badan. Capai pinggan dan sudu garfu. Bersedia menceduk Yam Ring.
“Tadi masa you tidur I tercium dahi you!” Heh. Tan ketawa terbahak-bahak bila melihat pipi Nad sudah kemerah-merahan.
Alih-alih, Nad sudah berdiri. Pegang pinggan dan sudu garfu!
“Tannnnnn!” Suara jerit Nad bergema. Melantun-lantun di dalam ruang rumah. Berkejar-kejaran mereka sambil meninggalkan Yam Ring sekali lagi di atas meja. Sudu dan garfu jadi bahan pula untuk Nad mencari mangsa. Kantuk Tan terus hilang.
Tan terus mewarnai hati sendiri dengan kenangan yang sedang berlangsung. Tan terus menerus mencipta cinta di dalam jiwa. Meski dia tahu hakikat yang masa sedang mencemburui dia dan Nadratul Nisa’. Meski juga dia tahu yang walau apa terjadi, perkahwinan antara dia dan Jia Wei tidak boleh lagi dibatalkan atas sebab Jia Wei sudah mengandungkan anak dia. Ya – kalaulah dia tahu yang Nad akan hadir dalam hidupnya, dia tidak akan sama sekali terpedaya dengan pujuk rayu Jia Wei. Sama sekali juga dia tidak akan menurutkan nafsu lelakinya kala digoda oleh Jia Wei.
Tan rasa mahu meraung kala ini! Tan tiba-tiba rasa berdosa kerana mencintai separuh gila dengan gadis ini. Nad…..maafkan I Nad!
Ah – itu hanya kenangan sahaja Nadratul Nisa’. Detik dan jam ini, dia sedang berhadapan dengan kenyataan bersama Bib. Cincin di dalam begnya yang diberikan oleh Tan di dalam kereta tadi sudah disimpan baik-baik.
Nad meraup wajah. Menekur pandangan mata ke lantai bilik mereka ini. Begitu mudah lafaz dari bibir merah Tan Jie Kang. Persoalannya, mampukah Tan itu menjadi seorang yang menganuti agama Islam. Tan itu betulkah akan mencintai dan menyayangi dirinya seadanya. Tan itu bagaimana mahu menolak kasih dan sayang yang selama ini telah Jia Wei curahkan. ‘Akukah yang akan membinasakannya? Adakah aku dan dia akan seperti pasangan lain, melarikan diri berkahwin di Thailand dan membuang keluarga? Tan akan meninggalkan Jia Wei dan keluarganya. Aku akan tinggalkan mama, baba, abang Nazim dan abang Nazrulkah?’
Tidak! Tidak!
"Aku tak ada kawan yang macam kau Nad. Kalau Tan kata sayang kat kau, dan kemudian Tan akan kata dia cinta kat Jia Wei. Semudah itu sahaja hatinya. Aku nak tengok buktinya kalau dia sayangkan kau. Jujurnya Nad....aku tak suka. Bulan-bulan lepas ya....aku suka dan setuju, tapi bila aku tengok kau dan Tan dan serupa macam entah apa-apa..aku dah tak boleh setuju!"
"Apa-apa? Apa yang kau tak setuju? Apa yang entah apa-apa?" Nad mula meninggikan suara.
"Iya, soalnya bila kau dah tak endahkan maruah kau. Berjalan dengan dia, berpegangan tangan ke sana dan ke mari. Sampai satu masa, dia letakkan jemari dia kat pinggang kau dan sama-sama makan bersuap-suapan, sama-sama berjalan dengan kaedah sebegitu setiap masa dan kau rasa itu sweet...oh itu cinta! Ohhh itu manja..ohh itu bahagia. Mengarut!"
"Kau cemburu Bib! Cemburu!" Nad bangun dan berdiri. Menolak kerusi ke belakang. Muka sudah merah menahan marah.
Bib tunding jari ke kepala Nad. "Cemburu? Nonsense Nadratul Nisa'. Buat apa aku nak cemburu, sedangkan hakikatnya hati dan jiwa kau tu perlu dibasuh dengan pokok dan rasa iman kepada Tuhan. Kau Islam dan dia bukan Islam. Mana mungkin kau dan Tan bersatu selagi perkara yang halal itu belum disahkan. Ngerti!" Bib lepaskan nafas. Begitu mudah sekali Nad membuat rumusan.
Bib ketap bibir. "Kau dan Tan berbeza. Sama berbeza Nad dan hakikatnya, janganlah jadi perempuan yang merampas kebahagian orang lain." Bib melepaskan lelah. Suara Moh Jia Wei memohon menasihati Nad membuatkan dia ambil keputusan nekad ini. Pelik. Sebab gadis itu datang menemuinya dan bukan bertemu empat mata dengan Nad sendiri. "Sama juga bila kau rasa Tan memeluk pinggang kau itu, itu bukan lagi halal untuk kau berdua. Faham?" Kalau putus persahabatan inipun, dia akur. Akur hanya untuk melihat Nad tidak kecundang lagi.
Nad diam. Mendengar bebelan Bib yang terus menerjah gegendang telinga. Perit. “Pukul berapa kau balik malam tadi? Kau ingat aku tak tahu?”
Nad pejamkan mata. Sudahlah Bib! Sudah! Mahu saja dia menjerit. Tetapi bibir terkunci. Bibir terus terpaku dengan sendirinya. “Kau pergi mana dengan Tan? Dah selalu sangat kau balik lambat. Sabtu Ahad kau akan keluar lagi dengan dia. Study pun aku tengok dah kurang. Kau pun nak final kan Nad? Kau nak repeat paper lagi ke? Bukan ke lepas ni kau akan ke Cameron bukak ladang bunga. So, setakat dah ada tanah, kau rasa kau boleh jawab exam buta macam tu aje?” Suara Bib makin keras. Dia mencampak nota ke atas katil. Bib terus mengikat rambut. Buat tak pandang Nad yang sedang menahan tangisnya. Nad ni memang – marah sikit. Menangis. Marah banyak – merajuk. Itulah yang selalu terjadi. Masa bercinta dengan Huzairi pun beginilah. Rapuh sungguh. Bergaduh sikit dengan Huzairi, menangis sampai bengkak-bengkak mata. Haihlah..tak faham sungguh dengan dunia ni!
Air mata terus tumpah. Air mata yang dia tahan akhirnya mencemar duli.
“Aku..a…a…aku cuma ada dia, Bib. Bukan sesiapa lagi yang boleh mengisi hati aku melainkan dia. Kalau nak dibandingkan antara Huzairi dan Tan, Tan tu lebih aku cintai melebihi aku sendiri Bib!”
“Cinta tu buta, Nad.” Bib memutuskan. “Iya, aku tahu dia sungguh-sungguh sayangkan kau. Tapi kau kena bukak mata dan terima hakikat. Dia akan kahwin dengan Jia Wei.”
Air mata membasahi lagi pipi. Nad tunduk. Hening ruang di dalam bilik ini. Bib terus mara ke mejanya. Mengambil buku-buku. Cepat-cepat dia masukkan buku berkenaan di dalam beg. Menarik tudung berwarna hitam dan disarungkan pantas. Dia menjeling Nad. “Kau kena terima hakikat. Hakikat Nad!” Dia melaungkan lagi perkataan keramat berkenaan. Biar Nad terbuka hati dan menerimanya.
“Kalau kau marah aku, terserahlah kat kau, Nad. Aku nak keluar.” Bib menjeling Nad yang tersedu-sedu menahan tangis. “Kalau lapar, whatsapp aku. Nanti aku belikan makanan.”
Bib terus menyandang beg. Jemari mengambil kunci bilik dan telefonnya dimasukkan ke dalam kocek jean. Mata terus menjamah wajah sugul Nad. “Lagi sebulan sebelum Tan berkahwin dan minggu depan kita semua nak final exam. Good luck!”
Bib ayun kakinya. Pantas dan menutup pintu.
Sepi.
Air matanya mendudu lagi. Sekejap-kejap dia mengesat air mata. Sekejap-kejap mata mencari Didi dan Nini yang sedang berenang dengan asyik di dalam akuarium kecil di atas meja.
Suara Bib terus menujah-nujah minda. Dia makin kusut. Nad terus rasa terpukul dengan setiap yang Bib lontarkan. Semakin menekan dan bagi Nad, dia cuma ada air mata sebagai teman sepi.
***
“Abang dah gila apa?” Roziana terus duduk di atas kerusi. Panas punggungnya dan segalanya rasa bertambah kusut dengan saranan dan cadangan suaminya, Marzunisham.
“Apa yang gilanya Ana. Kita pun tahu, Maleq dan Nad berkawan sejak kecil. Nad pun dengan Maleq memang baik dari dulu. Masing-masing dah suka satu sama lain. Abang dah aturkan. Awak jangan pandai-pandai nak ubah itu ini. Nad lepas habis exam akan nikah dengan Maleq, terus pergi Cameron dan duduk sana. Kita pun tak payah nak susah hati sebab Nad dah ada suami.”
“Itu masa mereka kecik-kecik abang. Dah memang anak kakak angkat abang tu sayang dengan Nad. Tapi tu dulu abang. Berpuluh-puluh tahun lalu. Sudahnya kalau Nad dah ada calon sendiri, takkan kita nak memandai-mandai aturkan pulak. Abang ni kenalah tanya dulu dengan Nad, jangan semborono macam ni. ”
Marzunisham tarik nafas. Sesak dadanya. Kalau betullah, apa yang dia nampak tempoh hari, maka dia perlu memutuskan dengan isterinya. “Kalau saya nampak Nad dengan budak cina Tan tu…Nad tak akan ambik exam dan saya akan terus nikahkah mereka.” Menggertak! Marzunisham nampak terdesak. Terdesak kerana bila ternampak anaknya keluar berdua-duaan dengan Tan Jie Kang.
Roziana tarik nafas. Berdebar-debar. Ya Allah. Apa semua ini. “Saya tahu Maleq tu anak kakak angkat abang. Janganlah abang buat keputusan terburu-buru ni abang. Tolonglah kasihankan Nad abang.” Dia memandang suami tersayang. Pohon simpati. “Janganlah sebab abang beli separuh dari tanah kat Cameron tu abang sanggup nak nikah kahwinkan anak kita dengan Maleq tu.”
Marzunisham menutup buku. Membuka cermin mata. “Saya bukan jual anak, Ana. Bukan dan saya bukan baba yang tergamak menjual anaknya. Tanah tu memang saya beli untuk Nad. Memang tanah kak Wardah pun. Apa salahnya saya beli dari kak Wardah yang banyak berjasa dengan saya tu?”
“Habis, apa kena mengena dengan Nad pulak? Kenapa abang nak suruh dia kahwin dengan Maleq? Abang kiranya memaksa Nad tau tak?” Mahu saja dia tinggikan suara. Suaminya ini tak habis-habis membuat keputusan terburu-buru.
“Dari saya tengok dia keluar dengan Tan tu, baik saya kahwinkan aje dia. Desperate sangat nak berlaki kan? Ni baba akan keluarkan kenyataan untuk semua. Baba kalau kata hitam, hitam juga! Kalau Nad keluar lagi dengan Tan tu…” Marzunisham tarik nafas. Dia sudah rasa Nad hilang pedoman. Mana mungkin Nad mencintai seorang lelaki berlainan agama. Tidak! Dan dia sama sekali tidak akan menerima hakikat itu. Pantang keturunan dia bercinta dan berkahwin dengan orang berlainan bangsa dan agama.
Bola mata mereka bertemu. Marzunisham hela nafas. Dia menyambung bicara, “Exam pun Nad tak akan ambik. Faham!” Berdiri tegak. Kening tebalnya bercantum. Meletakkan buku dan kaki Marzunisham terus diayunkan hala ke bilik air.
Dia pejam mata. Ahh. Nad. Hati ibunya terus terusik. Antara suami dan anak segalanya sedang berputar-putar mengasak minda. Dia telan air liur. Dua hari lepas, memang Maleq datang berkunjung ke rumah. Tanpa makluman Nad dan sesiapa. Nad yang terperuk di dalam bilik entah kenapa muram sahaja. Asyik menelaah buku pelajarannya. Duduk di balkoni termenung entah kenapa. Nad membungkus semua pakaiannya dari asrama dan sudah tersedia di dalam bilik. Entah kenapa dengan anak gadisnya itu, walhal Nad masih berbaki beberapa hari lagi menginap di biliknya itu. Mejanya terletak cantik sebuah akuarium comel. Dua ekor ikan berenang-renang.
“Nad duduk rumah sajalah mama.”
Dahi Roziana berkerut-kerut. Kenapa dengan Nad ni? Di bawah, suara papa dan Maleq bergelak ketawa menghentak-hentak jiwa. Rasa macam tidak sedap hatinya dengan kedatangan Maleq.
“Eh, awal anak mama balik. Exam kan minggu depan.” Dia mengusap jemari runcing anaknya.
Lari dari kenyataan dan lari dari Bib. Haha. Nad ketawa dalam hati. Mata terkedip-kedip memandang akuarium tempat hidupnya Didi dan Nini. “Nad akan ke kampus dari rumah sajalah. Bukan jauh sangat pun. Exam pun nak dekat. Duduk rumah dapat dekat dengan mama dan baba.”
Mata Roziana terus memandang susuk tubuh seorang lelaki yang sedang keluar dari kawasan rumah. Tegap tubuhnya dan ketika membuka pintu kereta entah jenama apa, pandangan mereka bersatu. Nad juihkan bibir. Entah siapa lagi!
Tapi pelik – kenapa mata lelaki itu singgah menjamah wajahnya? Siapa dia?
Pintu bilik terbuka. Marzunisham cekak pinggang. Menyembunyikan resah dengan perangai anak daranya nan satu ini.
“Siapa tu baba?” Nad membawa mata ke bawah, kembali memandang susuk tubuh lelaki berkenaan. Marzunisham sengih menyorokkan sesuatu. Mata memandang beg anaknya yang tersusun di depan katil.
“Maleq!”
Nad terkebil-kebil. Maleq? Macam serasi namanya di dalam keluarga baba. Tapi dia terlupa siapa. Nad mencapai pen. Retina memandang buku yang bila dibukanya hanya senyuman Tan sahaja terpampang di mata. Minda berpusing-pusing mencari jawapan. Sekali lagi dia angkat kepala, mata memandang baba. “Ohh..dia tu anak kakak angkat baba yang kat Cameron tu ya?”
“Iya.” Ah – lega hati ayahnya bila Nad mengingati Maleq. “Tanah yang makcik Wardah ‘bagi’ dan yang baba beli separuh tu tanah Maleqlah.”
“Ohh…” Nad gumam bibir. Hadiahkan senyuman untuk mama di sebelah. Roziana memandang suami sambil hati terus terdetik sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.
Dan apa yang terdetik nampaknya benar-benar berlaku. “Eh, baba nak keluar dulu. Nanti mama cerita panjang lebar kat Nad ya!”
Roziana terus memandang Nad. Menelan air liur. ‘Cerita panjang lebar?’ Apa cerita yang dia mesti ceritakan dengan Nad ya?
Bunyi pasu pecah di bawah memadamkan kenangan dua hari lalu. Semuanya berlalu dengan begitu pantas! Bila mengingatkan pesanan suaminya itu, jantung terus berdegup-degup laju. Makanya, baba sudah tahu Nad sekarang sedang bercinta dengan Tan! Ohhh..kenapa dia lambat menghuraikan isi hati anak gadisnya sendiri. Roziana pantas memusingkan badan. Mencari susuk tubuh suaminya yang tidak ada di dalam bilik.
Dia terus bangun. Kaki bergerak laju kerana jeritan Nad di bawah tambah memberi debar. “Mama!!!!!”
:::Press like macam biasa, sebab akan mencomelkan anda semua. Hihi. ;) Sayang semua. Terima kasih sudi menanti Mr Tan:::
Adios!