Dia dan Tan Jie Kang sudah tidak peduli. Biarlah mereka bercinta sahaja meski 'beberapa hari' yang Bib katakan itu akan menjelma. Tan akah kahwin. Tan akan mengahwini Moh Jia Wei.
Tapi kini, dia pasrah kerana turut sama mencintai si lelaki berbangsa Cina dan berlainan agama. Dia dan Tan Jie Kang kata orang, sudah tidak peduli pandangan mata orang lain. Berdosakah Nad, mama? Berdosakah Nad dengan Allah kerana hati Nad sudah terisi dengan seorang lelaki yang akan menjadi milik orang lain?
“Hei Nad…janganlah nangis. Ishh… I okeylah.” Tan terkebil-kebil memerhati wajah sugul Nad. Buka sahaja mata, orang pertama yang dilihatnya ialah Nadratul Nisa’. Dia senyum. Jemari terus mengusap kepala Nad. Nad panggung kepala.
Nad menggeleng-geleng. Kesat air mata. Manja. Nad menutup buku. Belajar dia malam ini di hospital. “You jangan gerak banyak sangat.” Terus mencapai beg galas di bawah. Dimasukkan buku ke dalam beg. Mata rancak bergerak memerhati Tan yang semakin segar. Pembalut putih yang membalut kepala Tan sudah dua kali ditukar oleh jururawat.
“You datang, temankan I kat sini pun dah buat I elok. Sakit kat kepala pun terus hilang.” Direnung lagi wajah Nad.
“Ajaib betul!”
Ketawa. Dia menarik tubuh si gadis yang sedang duduk dekat dengannya. Rasa senang dengan kehadiran Nad yang disayangi. Dipeluk kejap dan perlahan-lahan dilepaskan bila jemari Nad menolak. “I tak selesa.” Nad membetulkan tudungnya. Ditepuk-tepuk pipi sendiri dan Nad mula rasa pipi sudah berbahang kemerah-merahan.
“Ohh..sorry Nad. I terkejut tengok you datang. Teruja dan rasa rindu banyak pulak. Haha.” Tan meraba balutan di dahinya. Sempat ketawa dan menjeling kekasih dicintai. “Nasib baik tak teruk.” Tan menukar topik. Semakin lama dekat dengan Nad, semakin rasa cinta. Entah, dia tidak pasti kenapa. Tapi meski cinta dengan Nadratul Nisa’, bila berhadapan dengan Jia Wei, dia tidak mampu menolak juga secebis rasa simpati dan sayang yang pernah ada di hatinya untuk gadis itu.
Antara Jie Wei dan Nadratul Nisa’. Dua jiwa untuk sekeping hatinya. Mana satu ya Nad? Benarkah kau wahai Nad, sanggup berhadapan dengan kenyataan? Dan kalau memilih kenangan, bagaimana kelak untuk aku pertahankan semua ini dalam ingatan. Kalau kenangan antara kita sukar dipadam, apa yang perlu aku buat Nad? Dia renung pipi Nad yang masih kemerah-merahan. Senyum terukir kecil. Suka betul dia melihat Nad malu-malu sebegini
“I masuk sini secara serang hendap.” Jemari tangkas membetulkan gebar yang membalut tubuh Tan.
“Mama I datang tak?”
Nad angguk. “Datang. Errrr…mama kenal I ya?” Dahi berkerut. Kening sudah bercantum. Paling penting, sebab mama Tan hadiahkan senyum mahal untuk dia. Masa terserempak di depan lif, direnung tubuhnya atas bawah. Pelik betul.
“Iya.” Tan menarik jemari Nad. Digenggam erat. “Kenal. I cerita semua.”
“You cerita dengan mama?” Teruja. Wajah ceria. Rasa mahu membalas sahaja memeluk tubuh Tan. Tapi, norma Islam masih sedikit berkait di hati. Oh, Nad…kerana cinta hampir semua dia lupa.
“Dengan mama semua I cerita. You. I. Kita.” Tan senyum. Membalas renungan Nadratul Nisa’.
“Kita?” Terkejut. Jam sudah menginjak jam 1 pagi. Perbualan makin hangat dan panjang. Dia makin seronok. Makin ingin tahu apa sebenarnya yang Tan ceritakan dengan mamanya.
Tan angguk. Mata terkebil-kebil. Denyut kepalanya masih berbaki. Kadang-kadang sakit kepala datang dan pergi. “Mama tahu I sukakan you.”
Direnungnya Tan dalam-dalam. Patutlah mama menariknya menuju ke hujung tangga. Siap berpesan ringkas. “Nanti Nad temankan Tan ya. Aunty nak bawa Jia Wei balik. Jangan sampai Jia Wei tahu ya.”
Sampai waktu ini, dia masih pelik. Bagaimana mama Tan mengenalinya. Senang sekali dia melihat wajah mama Tan. Kedatangannya petang tadi secara serang hendap juga. Dua kali mencuba masuk ke dalam wad Tan. Tidak berhasil kerana wad penuh dengan rakan-rakan dan keluarga Tan. Paling terkesan dia melihat sendiri Moh Jia Wei menangis memeluk Tan.
Kejung rasa tubuh badan. Berdiri sahaja dia di luar sambil merenung dan menyaksikan kasih sayang Jia Wei untuk Tan. Seharian dia duduk di hospital. Menunggu jam beranjak dan menanti matahari terbenam. Siang terasa panjang. Risaunya untuk Tan Jie Kang seorang. Berkali-kali cuba untuk memunculkan diri. Setiap kali itu juga dia melihat Jia Wei tekun merenung lelaki yang turut dia sayangi.
Selepas pemergian Jia Wei, barulah dia boleh jejakkan kaki ke sini. “You tak marah I temankan you kan?” Direnung Tan penuh kasih sayang.
Hening. Tan menggelengkan kepala. Senyum lagi. “Heii…buat apa I nak marah you, Nad. You tak apa-apa kan?” Mata merenung seluruh wajah Nad. Tidak ada calar. Dia puas hati dapat melihat Nad sihat sebegini.
Dan topik perbualan terus menghibakan. Air mata si gadis mengalir-ngalir. “Kenapa you biar you yang jatuh? Kenapa tak biar je I yang kena hempap semua atap tu? Kenapa you selamatkan I? Kenapa Tan? Kenapa?”
“I nak ada kenangan dengan you.” Dia pejamkan mata. Tan menarik nafas. Dadanya rasa sesak. Padat kesan hentakan menujah dadanya. Rasa sakit ditahan-tahan. Dipegang pembalut yang kemas di kepala. “Kalau ada parut, I akan ingat you.”
Direnung lagi Tan. “You tahu kan, I risaukan you. I tak nak kehilangan you.”
“Lain kali you kena berhati-hati. Tapak pembinaan you kena tengok sana-sini. Pekerja-pekerja you jangan main-main dan buat kerja semberono aje.” Membebel lagi. Sambil membebel, dia kesat air mata. Ah – Nad memang manja. Cengeng orangnya.
Angguk. Berkali-kali. Terasa nyaman mendengar suara gadis yang disayangi. Tan mengukir senyumnya. Dihembus nafas. “I pun tak nak kehilangan you, Nad.” Jemari terus mengusap pipi Nad.
Dikesat air mata Nad. “Hei Nad….janganlah nangis lagi. Baru sikit dah nangis. Macam mana kalau betul-betul I tak ada. Macam mana you nak kuat bila I kahwin dengan Jia Wei nanti?”
Dia pejam mata. Nad mengatur nafas. Dia sudah betul-betul nekad. Memilih kenangan itu memeritkan wahai Nadratul Nisa’. Angguk. Mengiyakan segala kata-kata Tan Jie Kang. Lelaki di depannya ini – dia tahu sukar membuat keputusan. Dia juga tahu lelaki ini sudah berjanji. Dia juga tahu lelaki ini bukan seorang Islam yang boleh membawanya ke mana sahaja dan bernikah bersama.
Nadratul Nisa’ hanya ada kenangan. KENANGAN.
Nadratul Nisa’ hanya ada cinta sahaja di hati lelaki ini. Cinta yang kadang-kala bukan untuk dimiliki kan?
Malam terus berlabuh. Malam kekasihnya ialah bintang. Malam kekasihnya ialah langit yang gelap. Malam juga kekasihnya ialah bulan yang sedang terang berderang.
Direnung wajah Nadratul Nisa’. Gadis polos yang tidurnya beralaskan beg galasnya dipandang lama-lama. Tan memandang jam. Sudah empat pagi. Perbualan mereka akhirnya menidurkan si gadis. Dia bangun. Menolak gebar sendiri. Menarik selimut kecil pemberian mama dan dibalutkan perlahan-lahan ke belakang bahu Nadratul Nisa’.
“Shhh….” Mata menjamu kecantikan luar biasa Nadratul Nisa’. Sampai ke hari ini, dia hairan. Hairan kerana jantungnya akan berdegup-degup bila berhadapan dengan Nadratul Nisa’. Dia juga jadi pelik kerana setiap masa selepas bertemu dengan gadis ini, senyumannya sahaja yang menghiasi hujung mata. Tidak ada sesiapa melainkan gadis ini. “Selamat malam sayang.” Tan rebahkan kepala ke bantal. Gebarnya ditarik. Jemari kiri menyentuh-nyentuh pipi sang gadis. Perlahan-lahan dan dia senyum lagi.
Bagaimana kelak Nad? Bagaimana kau akan berhadapan dengan kenyataan dan bagaimana kita melalui perpisahan nanti. Mampukah kita Nadratul Nisa’? Mampukah aku juga melupakan setiap detik dan masa yang telah kita lalui bersama-sama?
***
Baru saja jemari runcing mahu membuka pintu kereta, bahunya ditepuk seseorang. Secepat kilat, dipusingkan kepala. Jantung terasa mahu jatuh ke bawah. Tetapi haih jantung – kenapa tidak mahu meloncat dan bibir Nad pula terbuka. Tergamam entah kenapa.
Kaki laju saja mengikut. Ayunan terasa lemah gemalai. Bangunan hospital baru hendak ditinggalkan, tetapi tetamu yang tidak diundang ini menambah perit dan sesak dada. Pertemuan tanpa dirancang. Pertemuan entah apa jawapannya.
Moh Jia Wei di depannya. Mata bertutup cermin mata hitam. Pakaiannya berjenama dan kulit bakal isteri Tan Jie Kang ini lebih cantik berbanding dengannya. Tinggi lampai dan sesuai dengan kerjaya modelnya.
Dia menoleh memandang Nadratul Nisa’. Cermin mata ditanggalkan. Mata sudah bengkak kerana tangisan risaukan Tan Jie Kang. Dia tidak mahu bergaduh. Tidak mahu juga menjadi seperti budak-budak.
“Nad…” nama yang dibencinya dipanggil. Cuma sekali ini sahaja. Moh Jia Wei menarik nafas. yang kini bersatu dengan angin. Gadis bertutup litup dan pandai bergaya ini direnung. Mata entah kenapa senang melihat kecantikan luar biasa gadis yang dicintai Tan Jie Kang ini. ‘Apa kurangnya aku, Tan? Apa lebihnya gadis di depan mata aku ini, Tan?’
Nad menelan air liur. Bola mata kini bersatu merenung Jia Wei.
Jia Wei melangkah mendekati Nadratul Nisa’. Dekat dan semakin dekat. Lengan Nad ditarik. Perlahan-lahan. Mata terus bertemu. Degup jantung rentaknya sudah bertukar nada. Jemari Nad dilekapkan terus ke perut yang sedang berdegup nyawa si kecil.
Mata Nad terus terbeliak. Jia Wei angguk. “Satu saja yang I pinta dari you Nad. Untuk anak dalam rahim I ni.”
Jemari terus ditarik. Dia terlongo tidak percaya. Air mata tiba-tiba bertakung. Ditahan untuk tidak tumpah. Bibir bergetar hebat. Nad menggelengkan kepala. Dia tidak ingin percaya dan tidak ingin mendengar lagi. Mengapa ini semua bukan mimpi? Mengapa?
“Ini anak kami Nad.” Direnung Nad dengan tajam. Air mata simpatinya turut sama mengalir. Dia mahu Nad tahu yang Tan Jie Kang lelaki yang mencintainya. Dia mahu Nad mengerti yang dia juga mencintai lelaki itu.
Nad menggelengkan kepala. Air mata merembes-rembes jatuh.
Sekali lagi Moh Jia Wei berdiri di depan Nad. Dia mengangguk. Dia tunduk. Bibir terus mendekati cuping telinga Nad yang ditutup tudung. Rasa simpati yang bersarang tiba-tiba bertukar menjadi benci. Iya, bencinya kerana setiap kali bersama denagn Tan Jie Kang, entah kenapa nama gadis ini yang lelaki itu sebutkan. Dia benci! Dia benci! “Demi anak ni Nad, lepaskan Tan Jie Kang. Berilah kami peluang untuk meneruskan cinta kami. Dan jangan menyesal kalau I bunuh anak ni. Dan nanti jangan menyesal juga sebab I akan beritahu semua orang yang you adalah pembunuh anak kami. Tan sayangkan sangat anak ni tau!”
Dia melangkah setapak ke belakang. Air mata yang tadi jatuh di pipi gebu bagaikan kering disapu angin. Jantung rasa berhenti dengan sendiri. Bumi juga rasa seperti berhenti putarannya. Siang terasa tidak akan berputar di paksinya. Malam rasa tidak akan indah lagi. Bintang rasa akan gugur menghempap kepala sendiri.
Tuhan, apa pula dosaku kerana masih mencintai lelaki bernama Tan Jie Kang itu?
Dia menoleh. Berjalan lesu dan membiarkan tubuh tinggi lampai Jia Wei di belakangnya. Nad mengatur langkah. Tetapi menoleh. Kini, mereka sudah berjarak beberapa meter. Hati rasa sayu merenung tubuh kurus Jia Wei dan mata terus rapat merenung perut yang kelak akan membesar.
Akhirnya dia buka mulut yang dari tadi terkunci. “Izinkan I.”
Nad gelengkan kepala. Tidak Nad! Tidak mungkin! Tetapi hati menzahirkan. Bibir terus melafazkan. “I cuma ada ….”
“Apa?” Jia Wei angkat kening.
“I ada lagi 3 minggu.”
Nad menyeka air mata. “…..izinkan I berkawan dengan Tan. Hanya 3 minggu lagi.” Mata menyorot mata yang Jia Wei yang sedang bulat. Kegilaan apakah ini, wahai Nadratul Nisa’? “Please Jia Wei!”
Suaranya makin rendah. Memohon sesuatu yang tak pasti . “….please…”
:::Enjin semakin panas. Maleq Rafie baru turun dari Cameron. Esok kot dia adooo. Hehe :::