"Eh, I okey. Mestilah I okey. You kan kawan I."
"So, you dah anggap I sebagai kawan ke?"
Angguk.
Tan terkebil-kebil. Kenapa tak anggap I lebih dari itu?
Nad dengan pantas mengambil iphone di dalam beg. Buat-buat tidak perasan dengan senyuman Tan. Menyenget saja bahunya. Amboi, gatal boleh tahan jejaka bermata sepet ini. Kalau handsome tak apa jugak.
Dia terus menarikan jemari. Hantar whatsapp untuk jejaka depan mata. Komuter terus bergerak dengan lancar. Beberapa stesen lagi, akan sampailah mereka ke Mid Valley. Cantik? Jangan nak mengada-ngada ya.
Apasalahkan I puji you depan-depan. I ikhlas. Bukan tipu-tipu.
I tak suka. Ceh.
Tan jelirkan lidah, Mengejek Nad yang berada depan mata. Dia masih tidak mahu mengaku kalah. Rugi Huzairi. Haha.
Bluweekkkkk..
Tan ketawa. Menutup mulut dengan jemarinya. Terus dia masukkan iphone milik sendiri ke dalam kocek seluar jeansnya. Dia memusingkan badan. Sengaja membelakangkan Nad. Dia memang sengaja mengalih perhatian detak jantungnya dengan melihat pemandangan di luar sana. Kalau lebih lama dia berdiri berhadapan dengan Nad, lebih lama meneliti bibir merah dan hidung comel Nad, harus terus membuatkan jiwanya kacau.
Nad mengumam bibir. Memerhati saja skrin iphone sambil melayari Facebook. Sekejap-kejap membuka Instagramnya. Tidak ada yang menarik pandangan mata kecuali kini matanya merayap memerhatikan seluar jeans Tan. Apa yang Tan luahkan sebentar tadi bagai di angin lalu sahaja. Pujian Tan tadi membuatkan dia sekejap-kejap mengawal rentak jantung. Tan ini gila apa? 'Dah tak ada bangsa sejenis yang boleh dia puji selain dari aku?'
Nad membawa bola matanya bergerak memerhati selipar yang dipakai oleh Tan. Dia senyum. Sunggingkan bibir dengan kejujuran lelaki ini. Keluar dengan seorang gadis, hanya pakai selipar biasa. Kemudian dia merenung tubuh tinggi Tan yang membelakangkannya. Sekejap-kejap Nad memandang ke kanan dan ke kiri...buatnya dia terkantoi dengan orang lain sebab pandang susuk tubuh Tan, buat naya aje.
Nad menyeluruhi lagi. T-shirtnya pun biasa-biasa saja. Entah jenama apa...tapi Tan nampak kemas sedikit hari ini dari hari-hari lain. Wangiannya pun ala kadar juga.
Kenapa kita berkenalan ya, Tan Jie Kang? Mengapa sekelip mata dia boleh menerima kehadiran lelaki ini. Walhal, sebelum ini abang Nazim ada mengenenkan dia dengan Muqri. Masa bersedihnya ketika putus pertunangan antara Huzairi dihabiskan dengan sendirian sahaja. Dia menolak semua perkenalan yang abang-abangnya aturkan. Tetapi dia tidak pasti kenapa bila perkenalan yang tiba-tiba dengan lelaki ini, dia dengan senang hati menerimanya.
Kenapa Tan Jie Kang?
“Hei-hei!” Suara lelaki itu mematikan lamunannya.
Nad terkebil-kebil. Terkujat sekejap bila tiba-tiba jemarinya ditarik kuat lelaki berkenaan. “Cepat Nad, pintu tren nak tutup tu!” Tan terus membawa Nad beriringan dengannya. Spontan dan ia bagaikan tiba-tiba.
Nad. Nad. Nad. Nadratul Nisa'. Kenapa merelakan dia menggenggam jemarimu itu? Bukankah baba dah berkali-kali berpesan. Bukankah itu salah satu perkara yang memberi izin hati dan jiwa lari dari syariat? Mereka terus berjalan serentak. Sambil itu Nad terus memeluk lengan Tan. Mengekor deras ayunan langkah Tan yang sedang memegang erat jemari runcingnya. Dia gemuruh! Rasa lantai pecah berderai-derai. Sehingga Nad memberhentikan langkahnya. Semput dibuatnya kerana langkah lelaki yang lebar ini.
Ramai orang berpusu-pusu menaiki tangga. Sehingga kawasan lengang dan Nad menundukkan wajahnya. “Tan...boleh tak awak lepaskan tangan saya?”
Hening. Tan kaku sambil terdiam. Dengan perlahan-lahan, dia melepaskan jemari Nad. Lupa. Dia lupa bahawa di sebelahnya ini ialah Nad. Gadis di sebelahnya ini bukan Moh Jia Wei. Bukan. Berbeza. Dia maklum...malah serba serbi tahu mengenai aturan agama gadis di sebelahnya ini. “Opss..sorry. I nak cepat tadi. Takut kita tersepit.”
Nad diam. Buat-buat mengerti tetapi masih terus sangsi. Langkah terus diayunkan. Dia mahu mewujudkan rasa senang lelaki di sebelahnya ini. Mula bercerita. Mula memberi warna hati Tan. “Selalunya pameran ni buat masa MAHA, Serdang.”
“Dan hari ni kenapa buat kat sini? MAHA tu apa?” Tan kawal intonasi suara. Mula memenjarakan rasa bersalahnya. Nad ini mudah menukar moodnya. Mudah juga mengawal rasa malu dan debarnya dengan episod memalukan tadi.
Nad terus ketawa. Haha. Iyalah, haruslah Tan ini tidak tahu serba serbi mengenai MAHA. Lainlah dia pelajar dalam bidang agroteknologi dan meminati bunga perlu suka kepada program sebegini. Sambil berjalan, dia tersenyum-senyum. Mulut membebel bercerita. “MAHA tu ialah pameran pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia. Tapi kali ni ada sebahagian jualan dan produk bunga dibuat di sini. Entah kenapa tetiba ada pulak pameran bunga kat sini. Apa lagi, serang ajelah.”
Ohhh..Tan garu kepala. Sengaja garu walau memang tidak gatal. Angguk macam buruk belatuk dan kaki berayun sama rentak dengan Nad.
Jarum jam terus bergerak. Minit dan saat terus berlumba-lumba mengejari jejak mereka berdua. Hening. Sesekali mata mereka memerhati suasana di dalam Mid Valley. Manusia berlumba-lumba bergerak.
“Nama penuh you Nad aje ke?” Tan menguis-nguis bahunya. Entah habuk apa. Sambil itu mata memandang Nad yang sedang tekun memerhati barang-barang di sebuah kedai cenderahati.
Nad yang sedang sedikit membongkok, terus menegakkan tubuh. Sengih dan menyambung perbualannya. Baru nak tanya ke? “Nadratul Nisa.”
Dahi Tan berkerut-kerut. Panjangnya nama dia. Tak ada panjang lagi ke? “Susahnya nak sebut.” Tan keluarkan iphonenya. Entah buat apa dan sambil berjalan dia menilik gadgetnya. “Nah.” Hulurkan iphone kepada Nad.
“Eh, nak buat apa ni?” Keliru sungguh dia dengan perangai lelaki bermata sepet ini.
“Edit balik nama panjang you kat contact I tu. Nadra..Nadratul Nisa.” Tepat. Tan senyum.
“Haa...tu kan dah hafal. Sebut lima kali macam you suruh sebut nama you...nanti I datang. Hehe.” Nad ketawa. Kelakar aje melihat wajah Tan yang serius. Ekspresi wajah Tan kadang-kadang buat dia tertanya-tanya.
“Hari-hari pun I sebut nama you. Hehe.” Haaa..Tan mula lagi. Mulalah dia jual minyak dagu.
“Mengada aje. Nah.” Nad hulurkan semula iphone Tan. Lepas dia edit semula nama sendiri dalam iphone milik Tan.
Sehingga mereka menjejaki kawasan pameran. Banyak bunga. Banyak booth. Ohh, Nad sudah rasa macam mahu pitam. Heaven!
“Cantiknya tu...” Nad sudah tidak peduli. Terus dia membawa Tan bersama-sama dengannya ke sebuah booth.
Itu bunga yang sama dengan bunga di halaman rumah Nad. Iya, dia ingat pesan mama Nad. “Bunga tu bunga kesukaan Nad. Nanti kalau buat kerja apa-apa, hati-hati ya Tan.”
“Orkid?” Tan mula membaca nama-nama saintifik yang tergeliat lidahnya mahu menyebut. Sumpah dia malas mahu mengklasifikasikan jenis-jenis dan nama semua bunga orkid yang ada di depan mata. Pelik sungguh sahabat barunya ini.
Nad angguk. “Yerp. I suka bunga orkid.”
“Ohhh..patutlah I nampak banyak bunga orkid kat laman rumah you.” Tan pandang pameran sebelah kanan. Banyak bunga mawar. Berwarna-warni. Matanya terus menjamah pipi merah Nad. “Bunga mawar?”
Nad panggung kepala. Jemarinya yang sedang mengusik-ngusik kelopak bunga orkid terhenti. Mata turut sama berlaga dengan lelaki berkulit putih ini. Tan semakin mendekati. Dekat sangat-sangat. Kini, seakan berbisik. “Kalau you dapat bunga mawar, you nak warna apa?”
“Mestilah merah. I pun suka bunga mawar.” Nad terus ke booth berkenaan.
Okey Tan, kalau perempuan suka bunga mawar itu bukan pelik namanya. Tan senyum memandang seorang pemerhati dari booth berkenaan.
“Baba pun dah sediakan tanah untuk I.” Nad mula bercerita. Sambil jemari memilih pula bunga mawar yang segar.
“Tanah?”
Jujur. Rasanya kalau dia bercerita dengan Tan, keseronokannya sama seperti berbual dengan abang Nazim. “Yerp. Nanti lepas habis study, I nak pergi Cameron Highland. Duduk dengan kakak angkat baba. Tapi ada sebuah rumah comel yang baba dah buatkan untuk I duduk di sana. I nak tanam bunga mawar. Baba ada belikan beberapa ekar tanah untuk I. Untuk projek tanam pokok bunga mawar. Kalau orkid, rasanya susah sikit kat iklim macam di negeri tanah rata tu. So, tanam bunga lain selain orkid pun tak apa. Kan?” Ceria sahaja Nad. Giginya terserlah untuk tatapan mata Tan.
Cameron Highland? Sejauh itu Nad? Kepala rasa dihempap batu. Entah kenapa Tan rasa berjauh hati. Rasa menyendiri dengan kejujuran Nad.
“Bila you akan pergi sana?” Sepi.
“Lagi 3 bulan. Selepas habis exam. I boleh lari dari Huzairi. Bagus kan rancangan baba?”
Tan tarik nafas. Hembus perlahan-lahan. “Ohh..sama dengan I. angka 3 tu macam berhantu pulak dengan kita.”
Tan mengorak langkah. Dia entah kenapa semakin rasa suka dengan kejujuran Nad. Juga semakin menyenangi sikap Nad. Gadis ini yang polos di matanya. Sudah beberapa malam dia memikirkan gurauan abang-abang gadis ini. Adakala dia rasa resah dan gelisah. Kadang-kadang dia selalu berdoa untuk membenarkan segala perancangan Nazim. Perancangan khas dan istimewa untuk dia dan Nad.
Dia telah menidakkan. Dia lelaki berbeza agama dan budaya dengan gadis ini. Mana mungkin semua itu berlaku jika bukan dengan kerelaan hatinya sendiri. Tapi makin lama, kenapa dia rasa sesuatu bila bersama dengan gadis ini? Mengapa dia seakan-akan suka dengan saranan dan gurauan Nazim itu?
Cinta itu butakah? Bagaimana dengan rasa kasihnya kepada Moh Jia Wei boleh bertukar angin kepada gadis di depan matanya ini? Hakikatnya, dia rasa Tuhan sudah membenarkan hasratnya yang lama itu untuk detik ini. Tuhan sudah memakbulkan hasrat hatinya.
Tetapi kenapa di saat lagi 3 bulan majlis perkahwinannya, rasa cinta itu hadir untuk gadis ini?
“Kenapa pulak dengan angka 3?” Nad menyusun bunga mawar pilihan hati. Mata menjeling-jeling bunga orkid di sebelah sana. Sekejap lagi dia harus membeli dan memilih orkid pula. Nad sudah mengambil sebuah bakul. Bunga mawar disusun cantik-cantik. Selepas selesai memilih, Tan mengekor punggungnya.
Dengan satu nafas, dia malafaz. Tan tegar meski dia rasa tidak berhak untuk berlaku jujur mengenai statusnya. Kalau boleh dia mahu menutup statusnya dari gadis ini. Hakikat perit yang dia sebenarnya mahu menganjakkan sahaja tarikh itu. Wajah Moh Jia Wei dan Nad berbalam-balam di depan mata. Bolehkah dia menukar si pengantin itu? “Errrr…lagi 3 bulan I nak kahwin.”
Bakul comel yang dipegang oleh Nad terus jatuh. Bunga mawar yang dipilih juga turut sama kini menyapu lantai. Kenapa dia rasa sayu dan pilu? Nad terus mencangkung, mahu mengambil kembali bunga mawar yang berada di atas lantai.
Tan Jie Kang bila melihatkan bakul jatuh ke lantai cepat-cepat berhadapan dengan Nad. Sama-sama mencangkung dan mengambil si bunga mawar. Sesekali dia menjeling Nad yang suram wajahnya. Lambat-lambat geraknya memasukkan bunga mawar tersebut. Nad macam tidak ada jiwa detik ini. “You okey ke?”
Nad panggung kepala. Sekali lagi saat ini, mata mereka bertemu. Bola mata berlaga-laga. Nad telan air liur. Nama kamu sudah beberapa kali mengetuk pintu hati. Betullah kata minda, bahawa nama kamu itu Tan sebenarnya mainan syaitan yang selalu berbisik-bisik. Nad mana boleh mengikut perasaannya lagi. Nad kan masih bersedih hati kerana Huzairi. Untuk apa lagi mengharap apa-apa pada putaran hidup yang masih tidak beberapa pasti.
Tan Jie Kang inipun, lelaki berlainan bangsa dan berbeza agamanya. Dia langit, Tan ini bumi. Bukankah dia menganggapkan Tan ini hanya kawan. Juga hanya sahabatnya sahaja. Juga teman barunya. Tapi kenapa ada rasa kecewa bermukim di jiwanya kini?
Senyum. Nad mengukir senyum meski tiba-tiba terasa payah. Meski dia rasa senyumnya itu seperti dibuat-buat. Oh hati, kenapa ada gerimis mendatangi?