"Eh Tan, nasi ayam yang you belikan I hari tu kat mana ya?"
"Jimmy yang belikan. Kenapa?"
"I kat Shah Alam ni. You kat Denai Alam lagi kan? Rumah hari tu ek?"
"Yerp."
"Okey, nanti whatsapp kat I kedai mana ya. Jap lagi I datang sana."
"Bawak nasi ayam sekali?"
"Iyalah."
"Ohh..ok.." Tan garu kepala. "Milo ais dua bungkus ya. I dahaga."
"Okey."
Tan jungkitkan kening. "Nad..kita ambik gambar ya. You and me. Okey? Gambar sempoi-sempoi aje."
"Mengada. Iphone kan ada. Siap bawak kamera bagai." Nad mengawal debaran.
"Kalau Iphone I masuk kolam jugak, menangis tak berlagulah I sebab gambar kita sama-sama takde. Baik I buat plan B dari guna iphone. "
"Nanti I jadi pengantin basilah jawabnya."
"Basi tak basi sangatlah. Dah, jangan nak bebel-bebel. sini-sini. Kamera ni Stephanie tolong ambilkan gambar. Iphone pun I tetap guna. Jangan lari. Cepat." Tan mula berikan arahan.
Tan cekakkan pinggang. Nad mengatur langkah. Kamera yang sudah ditangan Stephanie bersedia kini.
Hanya berlatar belakangkan sebuah pentas sederhana kecil. Sebuah bangku kayu, dan pemandangan biasa-biasa di sebuah butik perkahwinan. Nad terus masukkan tangannya ke tangan Tan. Mereka sama-sama kini tersengih dan bercekak pinggang. Sesekali Tan Jie Kang yang sibuk mendekatkan tubuhnya ke sebelah Nad. "Haiyaaa... Stephanie, ambik banyak-banyak sikit. Nad ni malu-malu pulak dengan I."
Bluwekk.. Nad mengejek Tan. Mereka senyum lagi. Ironinya, momen yang dari tidak biasa sudah bertukar menjadi biasa dan santai sahaja.
Kenangan manis Nad tan Tan. Sama-sama tersenyum, merenung kamera. Kemudian, Tan yang spontan sesekali dia menjeling pipi Nad yang sekejap-sekejap memerah kerana renungan nakalnya.
Nadratul Nisa'.... Tan memegang dadanya. Menjamah sekali lagi wajah Nad. "I tak pastilah kenapa jantung ni dag dig dug dag dig dug? You tak rasa ke seperti apa yang sedang I rasa?"
Hening. Nad telan air liur. Eh Tan ni. Selalu sangat bagi kepala dia jem tidak boleh nak menjawab. Stephanie semakin ligat klik! klik! Rasa seronok pula menjadi jurugambar tidak bertauliah untuk sahabatnya ini. Sesekali dia rasa ganjil juga dengan kelakuan Tan Jie Kang. Apa yang sedang Tan dan Nad buat, berbual dan momen santai, turut sama menjadi bukti di dalam kamera digital ini.
Nad gelengkan kepala. Menipu diri sendiri. "Tak. I tak rasa pun." Mata segera menangkap wajah Stephanie yang setia menjadi teman dan jurugambar. Sesekali Nad rasa bersalah sungguh hari ini kerana membawa hati dan jiwanya terperangkap bersama angan-angan Tan.
Kenangan ini adakah akan memenjarakan kita dengan rasa bersalah ini? Tuhan, percepatkanlah masa. Tiga bulan ini, jarakkanlah kami. Aku keliru. Sungguh rasa terbeban dengan rasa ini. Nad memanggung kepala. Merenung lagi Tan yang sedang kusyuk memerhatikan kamera. Stephanie sudah berdiri bersebelahan dengan Tan. Kini mereka bertiga. Entah apa yang Tan dan Stephanie bualkan, dia tidak tahu. Bahasa Cina yang memang tidak pernah dia arif. Kalau tanya Tan pun, Tan akan sengih sahaja.
"Tengok ni!" Tan halakan kamera depan mata Nad.
"Haaa..ya ya." Nad telan air liur. Tan bersahaja tingkahnya. Serta merta dia mengukir senyuman bila melihat wajah mereka berdua di dalam kamera berkenaan. "I comellah."
"Hahahaha. Perasan!" Tan terus menolak lengan Nad dengan hujung sikunya.
"Eeeee..jealouslah tu!"
Tan sengih. Melihat lagi gambar yang telah diambil oleh sahabatnya, Stephanie. "Tapi I sukalah. Lagi-lagi dapat ambil gambar dengan you. At least I ada peluang juga bergambar dengan you pakai gaun pengantin ni. I kira bertuah. Kan?"
Nad diam. Mata menekur lantai berjubin mewah. Bertuahlah sangat Tan Jie Kang. Ini sudah dikira membuat satu kerja yang akan dimarahi oleh baba. Selepas saja pertunangan dia dan Huzairi terputus, baba sudah keluarkan arahan kepada mama, abang Nazim dan abang Nazrul. ‘Jangan sesiapa memandai-mandai nak mengenenkan Nad dengan sesiapa. Berkawan ke, keluar dengan sesiapa pun tak boleh. Nad ni bukan kira siapa. Senang sangat dia akan terpikat dan jatuh sayang. Tup tap, Huzairi minta putuskan pertunangan. Siapa yang malu?’ Nad menarik nafas. Baba kesayangan sudah lama keluarkan arahan. Tetapi dia lebih suka dengan apa yang sedang dia lakukan. Ikut sahaja kata hati sendiri, Nad. Tapi bila ikut kata hati, kelak akan memakan diri sendiri kan?
Suara Tan terus rancak menari-nari. "I ada bawa bunga orkid jugak untuk you. Tadaaa.."
Tan sudah gaya buat announcement. Siap bertadaa tadaaaa. Ha ha. Nad terus membawa bola mata ke depan pintu butik Stephanie. Tan masih tersenyum. Rasa puas hati dengan setiap gambar yang telah dia miliki,
Ada lebih kurang 5 pekerja lelaki keluar dan masuk butik ini. Gigih sungguh mengatur segala jenis bunga orkid di depan butik. Nad ternganga. Dia mula mengira pasu-pasu yang tersedia. Kaki terus berayun. Dengan gaun-gaun dia meninggalkan Tan. Sambil itu Nad terus menjerit-jerit. "Heii Tan. semua orkid ni untuk I ke?" Tertoleh-toleh Nad memandang wajah Tan.
Dia angguk. "Iyalah untuk you. I kan dah janji."
Nad senyum. Menjerit lagi. Butik Stephanie sudah jadi macam rumah dia pulak. "Waaa...thank you Tan. Thank you! Sukanya I." Entah apa lagi perasaan yang terusik. Terus sahaja Nad menarik kembali perasaan yang libang libu tadi. Kalau jadi bff Tan lebih dari tiga bulan pun dia sanggup. Dapat bunga orkid macam ni...seronoknya.
Nad mula mengira-ngira. Ada sepuluh pokok orkid. Terus dia memusingkan badan. Memandang Tan yang sedang bergerak perlahan-lahan ke arah dia. Semakin mendekati dia dengan senyuman yang sebenarnya dag dig dug dag dig dug kan jantungnya. "Hei Tan.."
"Iya..." Mengukir lagi senyuman untuk Nad. Dia suka melihat Nad segembira ini. Suka sangat-sangat.
Mata Nad sudah bersinar-sinar. Lagi-lagi melihat orkid kesayangannya turut ada di depan mata. "Tambah lagi sepuluh boleh? Hahaha."
"Mengada. Kita bagi sepuluh dia suruh tambah lagi." Ah - Tan tidak boleh mengelak dari turut sama ketawa.
***
“I ada kawan. Pun nak kahwin dalam masa tiga bulan ni.” Tan memusingkan stereng.
“Okey, lepas tu?”
Tan semakin berani. Semakin mahu meluahkan hasrat hati. “Dia cakap kat I, dia jatuh hati dengan gadis lain dan tak pasti dengan perasaan dia. Pelik kan?”
“Gadis tu tahu tak?” Nad membelek Iphonenya. Tan sudah whatsappakan gambar mereka berdua ke nombornya. Sekejap-kejap dia senyum.
Geleng kepala. Rasa putus nafas pun ya. Kau Tan, kenapa tidak mahu mengaku terus saja? “Tak tahu pun.”
“Kenapa tak beritahu dia cepat-cepat. You suruhlah kawan you beritahu. Senang cerita. At least bebanan perasaan tu hilang bila mengaku.”
“Mungkin sebab masa kot. Dan mereka berbeza agama.” Lancar sahaja Tan menjawab.
“Ohh…” Terus sesak nafas Nad. Hakikatnya dia rasakan cerita lelaki disebelahnya ini ialah dia. Akukah dalam plot cerita Tan ini? Kawannya itu ialah dia. Dia itu ialah Tan Jie Kang? “Atau itu hanya mainan perasaan aje kot. Nak kahwin lagi beberapa bulan aje tu Tan. Ish…”
Nad memandang jalan raya. Terus dia menyambung perbualannya, “Lagi nak kahwin, lagilah kena uji. Tak kira lah siapa. Kan?”
Hening. Tan tidak menjawab. Diam sahaja. Betul kata Nad, Tuhan sengaja menguji hati dan perasaannya. Tapi selama mana harus dia membohongi hati sendiri. Selama mana juga harus dia memencilkan rasa cintanya kepada gadis disebelahnya ini?
“So, kawan you tu pilih siapa?” Nad segera mahukan jawapan tepat dari Tan.
“Entah.” Tan angkat bahu. Sengih. “I haraplah jugak keputusan dia tepat.”
Nad mengatur perbualannya, “Kalau I jadi bakal isteri kawan you tu kan. Mesti I rasa kecewa, sedih, terkilan dan semua rasa nak humban lelaki tu ke gaung pun ada.”
Tan telan air liur. Biar betul Nadratul Nisa’ ni. “You ni. Sampai nak humban ke gaung. Larat ke?” Hihi. Tan ketawa.
“Macam apa yang I rasa bila Huzairi putuskan pertunangan kami berdua. You tahu, sepatutnya hujung tahun ni kami dah berkahwin.” Nad menjeling Tan yang tiba-tiba diam seribu bahasa. “Perit Tan. Perit sangat-sangat. I rasa macam dah tak bernyawa saat tu. Sampai hati Huzairi.” Nad tiba-tiba jadi sayu. Mengenangkan lagi beberapa bulan sahaja mereka akan disatukan sebagai suami isteri. Hanya sebab Amelia. Itu sahaja sebab musababnya.
“Susah nak jangka hati manusia kan?” Tan membayangi dirinya lagi. Cuba berlagak biasa walhal punggungnya sudah panas.
Nad membawa hatinya jauh-jauh. Kenangan dengan Huzairi dilontarkan pergi. Buat apa mengenangkan lelaki yang sudah tidak sudi dengan diri sendiri. “Orang-orang lelaki ni memang tak cukup dengan satu kan?”
Itu Huzairi Nad. Bukan Tan Jie Kang. Tan menjeling lagi gadis di sebelahnya ini. Ah, sekejap saja pertemuan mereka hari ini. Lagi beberapa minit, sampailah mereka ke KTM. Pokok orkid harus disimpan dahulu sebelum Tan membawanya sendiri ke rumah Nad.
“Baik you nasihatkan kawan you tu. Jangan kecewakan tunangnya dan majlis yang tinggal beberapa bulan aje lagi ni. Suruh dia tenangkan hati dan fikir masak-masak. Okey?” Nad sudah merumuskan. Rasa tenang pula ketika ini. Rasa perbincangan dan topik yang dibawakan oleh lelaki ini, mudah untuk dibual bicarakan.
“Tapi Nad…” Tan tidak mahu mengalah. Dia hembus nafas. Rasa sesak lagi. Berhimpit-himpit dadanya. “Dia dah sayang kat gadis tu. Boleh tak you dengar cakap I ni. Yang lelaki tu rasa dia bahagia, dia senang hati bila gadis tu ada dengan dia. Dia tak pernah rasa yang sebegitu dengan tunangnya sekarang ni. You faham kan?”
Huh. Lelaki. Dasar lelaki. Nad mencebik. Mengada-ngada betul. “Apa lagi yang boleh I faham Tan?”
“You kena faham yang lelaki tu sebenarnya dari dulu sukakan gadis tu. Dari dulu meski gadis tu tak pernah tahu. Dan sekarang dia ada saat, detik dan hari-hari dengannya. Dan dia kata kat I, yang dia tak akan lepaskan gadis tu.”
Nad gelengkan kepala. “Ish..senangnya you cakap. Bibir atas gerakkan bibir bawah aje. Dah berapa lama kawan lelaki you kenal dengan ‘gadis sangat’ tu?” Nad menekan perkataan ‘gadis sangat’. Tan sengih. Sesekali mengerling bibir pot pet pot pet Nad yang merah.
Tan mula mengira. Antara dia dan Nadratul Nisa’. Sudah lama sebenarnya dia mengenali gadis ini. Sudah lama kan Nad? Cuma Nad sahaja yang tidak pernah tahu. Tetapi secara kasarnya, mereka lebih rapat belum sampai dua bulan pun.
“Errr..belum sampai dua bulan.” Tan menelan air liur.
“Choiiiii! Mengarut!” Nad cepat-cepat memutuskan pernafasan Tan.
Hening. KTM Seremban tiba-tiba tepat di depan mata. Kereta beransur-ansur pergi dan balik. Jalan raya nampak lengang. Nad ambil beg. Tali pinggang sudah ditanggalkan. Dia mahu buka pintu.
Tan terus memusingkan kepala. Mata memandang Nad yang sedang memaksa diri keluar dari kereta. “Tapi Nad, selalunya yang jatuh sayang ke hati itulah yang kekal kan? Even mereka berdua baru berkenalan selama dua bulan pun. Even lima hari. Atau sebulan pun. Bahagia tu kerja Tuhan kan Nad?”
Pintu yang mahu ditolak oleh Nad kaku. Jemari Nad terus kejung. Badan dia rasa terhenti untuk duduk lebih lama di dalam kereta Viva milik Tan ini. Suara Tan buat dia mahu menangis. “Kadang-kadang, yang berkenalan selama sepuluh tahun pun, bercinta bagai nak gila..tapi I selalu tengok akhirnya mereka akan berkahwin dengan orang lain. Kan?”
Nad tidak menafikan semua itu. Dia tidak boleh menolak rumusan Tan Jie Kang ini.
“Macam kita ni. Mana tahu Tuhan kata persahabatan kita kekal sampai bila-bila. Dalam bersahabat, rupa-rupanya kelak kita akan berkahwin. Walau kita baru kenal selama dua bulan. Benda-benda ni kita pun tak akan jangka kan? Hati dan perasaan beginilah yang I cakap tak boleh dikawal oleh sesiapa. Am I right, Nadratul Nisa?” Tan membawa bola matanya. Merenung Nad yang sedang terkebil-kebil.