Quantcast
Channel: Mardihah
Viewing all articles
Browse latest Browse all 176

Mr Tan 16

$
0
0
 "Nad, kami cuma rapatkan aje. Tapi kalau Tan tu suka...apa salahnya. Peluklah Islam. Nak nama baru? Abang Jim ada banyak nama best-best!"
"Eeee...masalahnya dia dah nak kahwin. Yang semua sibuk-sibuk nak kenenkan Nad dengan si A lah, si B lah. Kenapa? Tan Jie Kang akan kahwin. Tahu tak?"
Alamak..Nad dah tahu ke Tan tu akan kahwin.
Mama sengih. Pandang Nazrul yang buat muka poyo.
"Tapi mama suka dia, Nad. Apa salahnya pun!"

 




Bib yang sedang makan maggi terhenti. Maggi betul-betul berada di bibir. Panjang-panjang tergantung. Dia tengok sahaja gambar Nad dan lelaki 'mamat sepet cina model' yang ditayangkan oleh Nad. Dia macam tidak sangka, Nad berubah seratus peratus percen! Paling tidak sangka ialah Nad bergambar bersama mamat sepet cina model yang dia nampak dalam Iphone Nad. Eh, ini sudah bikin panas. 

"Oi oi. Kot ya pun kau nak melopong tengok aku ala-ala cinderella ni, baik kau telan dulu maggi tu. Buruk beno perangainya." Nad sengih.

Bib terus mengunyah dan kembali stabil mengawal magginya. Mahu tersedak dia kalau betul-betul 'mamat sepet cina model' ini di depan mata. Sekali pandang, tidaklah kacak mana, tetapi mamat cina ini tingginya bukan main. Badan ala-ala tough gitu. Ohmaii bertuahnya kau Nad. Sekali kalau peluk..euwwww.... Bib terkebil-kebil sambil menggosok mata. Berdosa kau Bib sebab bayangkan sebegitu. Astaghfirullah, Bib mengucapkan perkataan berkenaan berkali-kali. Tapi dua kali pandang, oh mak, rambutnya ini yang buat dia spesis sedap mata memandang. Walaupun macam tidak bersikat sangat. Misai, jambang yang berkumis-kumis inilah yang membuatkan wajah lelaki ini jadi lumayan. Mata dia pun, sekali pandang cair ...cair...cair!

"Oi Bib. Aku suruh kau tengok sikit. Ni sampai naik terjojol biji mata kau. Amboi...kau tengok Tan Jie Kang aku ya? Kau pun terpikat ya?" Nad sengih sambil silakan duduknya. Maggi kari Bib ini nampak menarik sungguh. Meski rendam sahaja dengan air panas dan bubuh perencahnya.

"Eh Nad." Bib mula jadi Mak Jemah. Iphone Nad yang diletakkan di sebelah mangkuk berisi magginya diambil. Dia menelek gambar sahabatnya satu persatu. Ini bukan gaya sahabat atau kawan. Ini dah gaya pasangan kekasih. Mee magginya langsung tidak diusik. Nad pula yang kini mengadap makanan segera berkenaan.

"Apanya wahai cik Bib comel oi." Nad tarik mangkuk maggi Bib. Sudu dan garfu mula disatukan.

"Kau keluar dengan dia selalu ya? Ni gambar pakai gaun pengantin ni, kau dan dia main kahwin-kahwin erk? Baba tahu tak?" Bib menyeluruhi wajah sahabatnya.

Nad angguk. Tidak menidakkan. "Adalah keluar dua tiga kali. Belum campur keluar dengan abang Nazim dan Nazrul memancing dulu. Ni aku gantikan tunang Tan aje. Pilih baju. Sekali ambik gambar sekali dengan dia. Kata Tan untuk kenang-kenangan." Nad terus sumbat maggi kari dalam mulut. Mengunyah perlahan-lahan dan mengesat hujung bibir.  "Baba tak tahu pun. Abang Nazim dan Nazrul cover line. Dulu pun kami keluar sama-sama. Baba tak akan perasan punyalah." Nad telan air liur. Lepas maggi masuk dalam perut, ah -kenikmatannya sungguh sekali.

"Kau serius? Kau kata untuk kenang-kenangan aje gambar ni. Jangan hati kau terpaut  dengan mamat cina ni sudah. Naya kau Nad. So, dia akan kahwinlah ya?" Bib macam percaya tidak percaya.

"Ha'a. Lagi tiga bulan." Nad menunduk lagi. Mengambil maggi dengan garfu. Kuahnya dihirup pula dengan sudu. "Ishh..sedapnya maggi yang kau buat ni Bib."

Bib muka terkejut amatsss. "Dia akan kahwin lagi tiga bulan?" Bib engsotkan silanya ke sisi Nad. Jemari tayang angka tiga. Ini cerita paling sensasi ni. Haihlah Nadratul Nisa', lepas satu-satu kisah pilu dia dengari dari bibir Nad. Beberapa bulan lepas, putus tunang sampai jadi kurus macam ini. Baru badan nak naik sikit, dapat kawan macam mamat sepet cina model ni, yang akan berkahwin. Lagi tiga bulan pulak tu. Ish Ish...

Eh-eh dia ni. Buat muka terkejut pula. Sumbat maggi ni karang, baru tahu! "Iyalah Bib, dia akan kahwin lagi tiga bulan."

"Dan kau seronok-seronok keluar dengan bakal suami orang? Tanpa rasa bersalah? Ish kau Nad. Buatnya dia tersuka kat kau ke..kau tersuka kat dia ke, macam mana? Dulu kau jugak yang cakap kat aku, Baba dah melarang keras kau keluar lagi berkepit dengan mana-mana lelaki. Lepas kau putus tunang, baba dah bagi amaran keras jangan babitkan diri dengan cinta yang tak akan jadi. Kau lupa dah ke?" Bib bikin panas jiwa Nad. "Ke kau memang sengaja buat-buat lupa amaran baba kau? Sudahlah dengan lelaki cina. Kalau melayu Islam aku okeylah jugak kan."

Nad sengih. "Sekurang-kurangnya Bib, aku berkawan dengan tunang orang. Bukan dengan laki orang atau datuk VVIP mana yang popular kat Malaysia ni. Kira lagi okey aku dari Amelia yang merampas tunangan orang. Kan?" Nad sambil melahap maggi kari memandang Bib yang terkebil-kebil.

Hehehe. Bib muncungkan bibir. Buat-buat goyangkan bahu. Dia sudah bergaya ala-ala model. Tergedik-gedik kini.  "Tapikan Nad, serius aku suka tengok kau dengan dia dalam Iphone ni. Sama cantik, sama padan. Eeee, ruginya Huzairi menolak gadis baik macam kau. Kalaupun nanti dia suka kat kau, aku doakan dia masuk Islam cepat-cepat. Mesti dia caring kan?" Bib letakkan Iphone Nad di sebelah pehanya.

Nad tidak jadi mengunyah maggi. Sambil mulut penuh dengan maggi, Nad membebel-bebel. Pipi kembung semacam menahan isi dari keluar."Iya sangatlah kau. Siap berdoa  bagai. Dia nak kahwinlah Bib. Tolonglah jangan harapkan aku dan dia dengan apa-apa ikatan. Berdosa aku Bib, kalau runtuhkan masjid yang sedang dibina. Dahlah..aku nak makan ni. Lapar. Aku dan dia sekadar bff aje."

Bib pandang mangkuk berisi magginya. Kuah pun kini dihirup oleh Nad. Sehelai maggi pun tidak ada. "Naddddd!"

"Apanya?" Nad letakkan sudu. Sedapnya maggi ni. Pergh. Bola mata tepat pandang Bib.

Bib tarik mangguk magginya. Mata bulat macam guli. "Sampai habis kau makan maggi aku Nad? Sampai hati kau. sampai hati kau. Sedihnya aku." Bib pandang mangkuk yang sudahpun licin. Baru berborak beberapa minit, magginya habis lesap dimakan Nad.

"Hehehe. Itulah...kau asyik membebel tanya sambil tengok gambar aku dan Tan. Aku makan lah bagi perabih. Apa-apapun terima kasih sebab sedap sangat-sangat. Sayang kau banyak-banyak Bib."

“Sobss…habis maggi aku.” Bib pandang lagi mangkuknya yang sudah kosong.

Burpp….dia dengar Nad sendawa. Nad terus bangun dan mencapai Iphonenya. “Alhamdulilah. Ekekeke. Dahlah. Toksah buat muka empat belas macam tu. Aku buatkan lain ni.” Nad tala mata memandang Bib. Sambil itu Nad menjeling bakul makanannya yang lengkap dengan biskut, maggi, air kotak dan biskut oreo.

“Haaa..macam tulah sahabat dunia akhirat.”

Mereka ketawa. Nad menjeling Iphonenya yang menyala-nyala. Dua kali deringan, berhenti. Dia jenguk sekejap. Eh, Tan Jie Kang. Nad senyum. Iphone bernyanyi-nyanyi lagi. Nad panjangkan lehernya. Tiga kali. Kemudian berhenti. Tan Jie Kang juga.

Dia biarkan. Memanaskan air. Mencari mangkuk dan sudu untuk misi membuatkan Bib maggi dan menikmatinya sekali lagi. Beberapa minit, maggi sudah bersedia dalam mangkuk. Bunyi bip whatsapp menjengah gegendang telinga.

Nad terus mencapai Iphonenya. Ralit membaca. Lusa dan Rabu I ada kat Shah Alam.

Eh Tan ni. Buat apa nak beritahu? Tak tanya pun. Nad sengih. Demi melihatkan Bib yang sedang menanti, dia terus gigih bawakan semangkuk maggi ke bawah. Sekali lagi mereka duduk bersila sambil satu lagi bunyi menemani.

“Haaa..tak lain tak bukan…aku gerenti yang whatsapp kau sekarang ialah Tan Jie Kang.” Bib angkat kening. Pandang Nad yang menjelirkan lidah. “Kan? Tan Jie Kang kan?”

***

“Eh Tan, nasi ayam yang you belikan I hari tu kat mana ya?” Nad tanpa salam, tanpa hei, tanpa hoi terus menyanggah gegendang telinga Tan. Nad memusing stereng keretanya. Bib di sebelah sekejap-kejap menoleh. Tersengih. Akhirnya impian bertemu dengan bff Nad termakbul. Alhamdulilah, Ya Allah.

Tan senyum. Selepas sehari, mereka tidak bertemu dan selepas whatsappnya tidak berjawab, Nad akhirnya menelefon dia.

“Jimmy yang belikan. Kenapa ya?” Tan angkat kening. Dia bercekak pinggang memandang rumah yang masih belum siap sepenuhnya. Hari ini, Puan Am tidak berpuas hati pula dengan wardrobe yang ditempahnya. Hari tu mahu warna kuning cair, hari ini nak ubah pula ke warna merah jambu. Haiya..manyak susah ini olang! Wardrobe dah siap pasang pun. Tan garu kepala sendiri.

“I kat Shah Alam ni. You masih kat Denai Alam ke?” Nad fokus memandu. Sudahlah bawa kereta, ini bercakap pula dengan telefon. Ear phone, tertinggal pula dalam laci.

“Yerp.” Tan menjeling Jimmy yang sedang membuka semula wardrobe. Lee Tze Hei yang sedang memeriksa plug tekun sahaja mendengar suara bosnya. 

Nad memberi anggukan kepada Bib. “Okey, nanti you whatsapp kan kat I kedai mana ya. Jap lagi I datang sana.”

“Bawak nasi ayam sekali?” Buat-buat tanya soalan basi. Hakikatnya dia sedang tersenyum ceria mendengarkan suara gadis ini. Kalau Nad bawa nasi ayam ini - ah sudah. Mampus! Hari tu Jimmy sudah bersoal jawab dengan dia mengenai kehadiran Nad. Kali ini Lee Tze Hei mesti bertanyakan soalan yang sama juga.

“Iyalah.” Amboi Tan Jie Kang ni. Dua hari lepas kemain whatsapp beritahu ada di Shah Alam. Apa, ingat Shah Alam dengan Serdang dekat sangat ke? Duit minyak dan tol pun dah mahal okey. Dia tahu Tan sengaja beritahu yang dia ada di Shah Alam. Menyuruhnya datang ke sana, walhal Serdang dan Seremban lagi dekat untuk mereka berjumpa.

“Thanks Nad.” Senyum terbit lagi di bibir merah Tan. Dia garu kepala. “Milo ais dua bungkus ya. I dahaga.”

Nad ketawa. Eh eh. Boleh pulak request nak milo ais dua. “Nasi ayam nak berapa?”

Tan turut sama membalas ketawa Nad. Dia panjangkan leher melihat pekerja yang sedang membersihkan simen-simen dan sampah di hadapan rumah berkenaan. “Sekejap ya.”

“Oi oi! Nak makan tak? Ada orang nak belanja ni.” Suara Tan menjerit membuatkan Nad tersenyum. Kalau dua puluh orang, eh cukup ke duit yang ada dalam purse ni? Nad menjeling Bib. Bib ada duit. Bib kan kaya raya. Bib kan kawan dunia dan akhirat.

“Nad….” Tan memanggil. Rendah saja ton suaranya.

“Iya…”

“Tak apalah. You tengah drive kan? Nanti I whatsapp lah kat you nak berapa. Risau pulak.” Tan memandang Jimmy yang membuat angka 5. Dia angguk.

“Okey Tan Jie Kang. I tunggu ya.” Nad rasa senang hati kerana Tan memahami. Dia fokus memandang jalan raya. Janganlah ada pakcik polis kat sini.

“Hati-hati Nad. I tunggu ya. Dah, jangan guna phone masa drive.” Mata Tan menyeluruhi seluruh ruang bilik utama. Cepatlah sampai ke sini wahai Nadratul Nisa’.

Nad mengukirkan senyumannya. Senang sekali dengan sikap Tan. Dulu, Huzairi jarang sekali nak sebut hati-hati. Nad, untuk apa lagi dikenang kisah lama. Sudah-sudahlah tu. Dia letak Iphone atas riba. Bib sesekali menjeling. “Tan ada kan?”

“Adalah. Eh…” Nad ambil Iphone, Tangan kiri berikan hadiah dari Tan kepada Bib. “Nanti Tan bagi whatsapp, kau baca ya.”

“Baik Cinderella!” Bib ketawa.

Nad menjelirkan lidah. Buat-buat tidak dengar tetapi jantung sekali lagi rasa dag dig dug. Sehari yang panjang tanpa dia memberikan jawapan kepada Tan. Sibuk sungguh dia dengan kuliah dan sesi menjengah hasil tanaman untuk projek akhirnya di ladang projek. Alhamdulilah, semua urusan projek berakhir dan sesi pembentangan akan dijadualkan minggu hadapan. Sebulan lagi, dia harus fokus untuk peperiksaannya. Sebulan sahaja Nad, dan selepas baba berikan green light nanti, dia akan terus mendaki Cameron Highlands menjengah tanah dan projek tanaman bunga mawarnya pula.

Tan Jie Kang. Masa akan pantas berlalu. Masa akan mencemburui mereka berdua. Nadratul Nisa’ juga tidak pasti apa jawapan untuk persahabatan yang sedang bermula ini. ‘Kadang-kadang, yang berkenalan selama sepuluh tahun pun, bercinta bagai nak gila..tapi I selalu tengok akhirnya mereka akan berkahwin dengan orang lain. Kan?’
Lamunan Nad mati. Mati bila suara Bib menerjah gegendang telinga. “Yang, nasi ayam tu kat Gerai nasi ayam Mawar.  Seksyen 9, Bandar Aman Ria. Beli 7. Sos merah lebih.” Bib mengekek-ngekek ketawa. “Fuyooooo…dia panggil kau yang. Hahahaha.”

“Sengal Tan!” Nad memusingkan stereng. Dia sudah nampak gerai nasi ayam yang diwhatsappkan oleh Tan.

“Haaa..Nad-nad, dia taip lagi.” Bib rancak lagi mengenakan sahabatnya. Boleh tahan gatal juga si Tan ini. “Yang, air milo ais I jangan lupa. Miss you.”

Kahkahkah. Bib ketawa, rasa macam nak berguling-guling atas jalan raya. “Yang sangatlah. Hahaha.”

***
“Apanya tengok-tengok ni?” Tan yang sedang membuka nasi ayam diperhatikan pekerjanya. Lee Tze Hei dan Jimmy sesekali menjeling.

Lee Tze Hei sengih. “Tak adalah Tan. Kau tiba-tiba bawa awek baru. Terkejutlah kitorang kat sini.”

Nad dan Bib mati kutu betul duduk dalam bilik ini. Lagi pula semua pekerja Tan asyik memerhatikan mereka. Tapi dapat saja nasi ayam dari gerai Mawar semua berlari-lari ambil tanpa rasa malu.

“Hei Nad, duduk dekat sikit dengan sayalah. Duduk sebelah saya ni. Suruh kawan you duduk sekali. Makan sini.”

“Bib. Nama kawan I ni Bib.” Nad terus letakkan punggung atas tikar yang terhampar untuk mereka. Dekat saja dia duduk dengan Tan. Pekerja Tan yang lain sekarang kusyuk betul memulakan menikmati nasi ayam yang dibelinya.

“Hai Bib!” Tan hadiahkan senyuman untuk Bib. “Duduk-duduk. I takut you berdua tak selesa pulak datang rumah tak siap macam ni. Banyak habuk kat sini. I lapar sangat ni. Nasib baik Nad beritahu nak datang. Dapatlah makan nasi ayam free.” Tan menjeling Nad.

Nasi ayam sekali lagi untuk pertemuan mereka. Nad letakkan nasi ayam pilihannya di depan. Bib pun turut sama. Sesekali dia menjeling-jeling Tan dan Nad yang sebaris dengannya. Syahdunya dia melihatkan Tan sebegitu.

Bila Tan membukakan nasi ayam untuk Nad. Sekali lagi, air milo ais yang turut sama diletakkan di tengah-tengah mereka berdua. Perlahan-lahan Tan membuka ikatan talinya. Menyedut tanpa rasa malu dan sekejap-sekejap ukirkan senyumannya untuk Nad.

Bila pekerja-pekerja Tan turut sama tercengang melihat mereka berdua. Iyalah, Tan selamba badak saja mengambil ayam dari bekas Nad, dikopek-kopek untuk Nad. Dihulurkan air milo dengan penuh kasih sayang juga untuk Nad. Apa sahaja yang sedang Nad ceritakan mengenai aktiviti kuliahnya, didengari penuh minat oleh Tan. Separuh nyawa dia serahkan untuk setiap cerita yang dibualkan oleh Nad.

Bib terkedu melihatkan mereka berdua. Nad… Tan ini memang ada rasa dekat kau Nad. Kau takkan tak nampak. Nad… Tan ini memang ada hati dekat kau. Kau tak rasa dengan mata jiwa  kau tu ke? Nad, kau tak tahu ke yang seluruh pandangan mata dia itu ditujukan khas untuk kau.

“Nad…you tak payahlah pergi Cameron tu. Duduk Seremban ajelah.”

Nad terus mengunyah. Pandang Tan. “Tak bolehlah Tan. Baba dah belikan I tanah. Siap semua dah. Tinggal duduk sana, bawa badan dan tumbuhkan aje bunga kat sana.”

“Ala, you tanam kat Seremban ajelah.” Tan memujuk lagi. Mampukah dia untuk merasai kehilangan gadis di sebelahnya ini? Tegarkah dia untuk membenarkan Nad pergi.

Nad sengih. Kelakar sangat. “Musim kat sini lain sikit dengan Tanah Rata sana tu. Tanam dua tiga pokok bolehlah. Kalau boleh I nak tanam bunga-bunga jenis lain jugak. Mana tahu berjaya.”

Hening sahaja. Bib masih mendengar. Sambil menikmati kesedapan nasi ayam Mawar ini, matanya turut sama memerhatikan pekerja-pekerja Tan yang sedang berbisik-bisik sambil ketawa.

“Nad. Nanti kalau you pergi I akan rindu.” Hening. Nad diam. Menoleh memandang Tan yang syahdu  saja wajahnya. Bibir Tan menyambung lagi. “Iyalah Nad, siapa nak ganti you jadi bff I?”

Nad senyum. Merenung Tan. Iya, nanti dia pun akan merindui Tan. Kalau Tan kahwin pun, dia akan redha dan menerima saja. Dia sudah menolak rasa ini jauh-jauh dan tidak mahu lagi terbabit dengan perasaan untuk mana-mana lelaki. Termasuk juga dengan lelaki di sebelahnya ini.

“Bib kan ada!” Nad sambil itu ketawa dan merenung Tan yang serius sahaja wajahnya,

Huk huk. Bib terus tersedak-sedak sampai tercekik ayam. “Nad…air Nad. Air. Aku tercekik ni!” 

::Sorry, bab ni tak banyak kisah Tan & Nad, Next entry okey:::

Viewing all articles
Browse latest Browse all 176