"I ada kawan. Pun nak kahwin dalam masa tiga bulan ni."
"Okey. Lepas tu?"
"Dia cakap kat I, dia jatuh hati dengan perempuan lain dan tak pasti dengan perasaan dia. Pelik kan?"
"Perempuan tu tahu tak?"
Geleng kepala. Rasa putus nafas pun ya. Kau Tan, kenapa tidak mahu mengaku terus saja? "Tak tahu pun."
Tan mengacau air milonya. Perlahan-lahan dia mengayun kaki. Mendaki anak tangga untuk ke halaman atas. Rumah dua tingkat miliknya yang comel ini terus dibaluti keadaan sunyi sepi. Rumah milik sendiri ini, diubahsuai mengikut kesukaannya. Tempat lepak paling dia suka ialah di atas rooftop yang lengkapi dengan meja, kerusi untuk beristirehat. Mencukupi untuk dia membaringkan diri. Bantal-bantal tersedia. Meja kecil juga ada. Kerusi rehat yang ditukangnya sendiri akan menjadi letak punggungnya.
Kalau penat bekerja menukang, fikiran akan jadi lapang bila dia merehatkan diri di atas ini. Tan sambil mendaki, meneguk milonya. Iphone di atas meja disambar dan dimasukkan ke dalam kocek seluar paras lututnya. Tan kini menolak cermin kaca. Menghirup udara segar malam yang dingin. Dia letakkan mug di atas meja kayu.
Terus menghempas diri di atas bantal-bantalnya yang berwarna warni. Dia memandang langit yang gelap. Bulan sabit, cahayanya kelam sahaja. Tidak mempesonakan. Bintang turut sama hilang. Adakah hilang kerana raut wajah Nad yang suram ketika pertemuan mereka tadi. Kenangan ketika berdua dengan Nad beberapa jam tadi terus melayang-layang. Tan sesekali tersenyum. Entah kenapa meski dia rasa tidak pasti dengan hatinya, tetapi dia suka. Suka sekali kalau Nad itu menayangkan giginya yang putih untuk dia.
Suara Nad deras masuk ke dalam gegendang telinga. “Eh, I okey. Mestilah I okey. You kan kawan I.”
“So, you dah anggap I sebagai kawan ke? Ek?”
Nad angguk. Entah apa-apa si Tan ni. Dah memang semenjak mereka bertemu, dalam banyak episod dan plot tidak terjangka antara mereka, dia sudah menganggap Tan ini sebagai kawan. Tan tersenyum simpul. Kenapalah Nad tidak menganggapnya lebih dari itu. Alangkah bagusnya kan, Nad?
Senyuman Nad siang tadi terus terpadam bila iphonenya berbunyi bip whatsapp. Tan terus menyeluk poket seluarnya. Moh Jia Wei. Dia senyum. Mata terus membaca .
I harap you tak pergi dating dengan perempuan lain.
Tak. Satu hari I ada kerja kat KL. Tan terus membalas. Sambil itu dia tersengih-sengih sambil teringatkan wajah Nad. Menipulah lagi dengan Moh Jia Wei. Memang dia ada di Kuala Lumpur. Itupun bertemu dengan Nad. Memilih bunga dan membelikan Nad beberapa kuntum bunga mawar.
Sorry, sebab I dah sampai Penang. Then, tomorrow you cancelkan appointment dengan Stephanie ya. I janji, next week kita jumpa Stephanie.
Ah. Tan pegang dahi sendiri. Sudah berkerut-kerut kerana dia hampir terlupa. Esok sepatutnya dia dan Moh Jia Wei akan ke butik Stephanie. Stephanie sudah beberapa kali menelefon. “You ada dua sesi ya Tan. Ahad ni pilih mana yang berkenan. Then I nak kena buatkan gaun paling cantik untuk Jia Wei. Bawa Jia Wei sekali ya. Sesi kedua nanti I akan call you atau Jia Wei.”
Mengapa pula Jia Wei minta batalkan janji dengan Stephanie ni? Dia tarik nafas. Tan terus menaip. Penang?
Iyalah darling. I ada shooting. Urgent. Sorry and take care.
Whatsapp dari Moh Jia Wei terus sepi. Terus kaku jemari Tan mahu membalas. Kekasihnya sibuk lagi ke sana dan ke mari. Gadis pingitan itu mesti ke hulur dan hilir mengikut arahan Nathan. Tukar baju itu dan tukar baju ini untuk memperagakan fesyen majalah milik Nathan yang terbaru itu. Dengan tahap kesibukan tunangnya itu, dia risau dengan majlis yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi
Angka 3 memang berhantu kan? Tan mengeluh. Moh Jia Wei memang kuat bekerja. Kuat juga menjaja nama ke sana dan ke sini. Dia tidak menidakkan dan kadang-kadang rasa cemburunya bertandang bila gadis yang dicintainya itu sering memperagakan pakaian yang seksi kepada tatapan umum. Walaupun agamanya tidak melarang, tetapi dia terus terang tidak bersetuju dengan kerjaya yang dipilih Moh Jia Wei. Emaknya juga sudah beberapa kali berpesan, ‘Ma tak kisah Tan. Tapi janganlah bagi lagi you punya bakal isteri jadi model. Kerja lain sudahlah.’
Tan hembus nafas. Sekali lagi dia entah rasa seperti tidak percaya dengan keadaan diri sendiri yang akan bergelar suami kepada Moh Jia Wei. Gadis itu akan bersediahkah? Bagaimana pula dengan esok? Esok…..Nad….esok…Nad…..Nad…esok. Dia sengih nakal. Idea gila tiba-tiba datang. Entah kenapa dia mahu mendekati gadis berkenaan.
Tan terus mencapai kembali iphone di sebelahnya. Mencari nama Nadratul Nisa’. Tan terus berdiri. Memandang kaki langit yang gelap. Bintang mula bertaburan. Bintang mula keluar sedikit demi sedikit. Kaki langit yang gelap seakan-akan mula bersinar-sinar. Bulan semakin malap warnanya.
Nad yang sedang mengubah bunga mawar di dalam pasu memandang iphone. Bib sudah berdengkur-dengkur tidur kerana kepenatan.
“Hai Nad.” Tan telan air liur.
Nad mengawal suara. Membalas seadanya. “Hai Tan Jie Kang. Kawan saya ni buat apa?” Angkat kening double triple.
Tan menelan air liur. Okeylah sebab Nad sedang menerima yang dia ini sebagai kawan. Tetapi kan Nad, kenapa dari dulu kita tidak dipertemukan. Kenapa dari dulu kita tidak ditakdirkan untuk berkawan?
“Renung kaki langit. Then, I nampak bintang. Haha.” Tan ketawa.
Dituruti Nad. Dia gelengkan kepala. “Mestilah nampak bintang bagai. Tak akan you nampak pokok ke, rumah ke kan?”
“Okey. Sebenarnya I ada satu request ni. Only you.” Tan mula mahu melemparkan idea gilanya. Bukan susah sangat pun kalau dia meminta bantuan Stephanie. Stephanie itu kawan baik dia semasa sekolah.
“Me? Request apa? Peliklah you ni.” Nad letak tangkai bunga mawar di atas meja. Dia terus ayunkan kaki dan duduk di penjuru katil. Janganlah lelaki ini meletakkan apa-apa perasaan lagi kepadanya. Janganlah lelaki ini menerbitkan apa-apa juga rentak di jantung ini. Dia tidak pasti kenapa mesti Tan hadir di saat dia kecewa dengan Huzairi. Bila Tan mengaku yang dia akan berkahwin, Nad terus rasa sepi memang mendatangi untuk hatinya. Bukan mengharapkan apa-apa sebenarnya. Bukan juga mahu ada ikatan apa-apa dengan lelaki berbeza agama ini. Tetapi dia sejak azali, akan lebih rapat dengan sesiapa yang rajin mendekati dan menghulurkan persahabatan. Salah satunya ialah Tan Jie Kang.
“You kata you kawan I kan? Sahabat you jugak kan?” Tan atur nafas.
Nad angguk. Tan ni, suka sangat buat dia terkejut. Apa lagi permintaannya malam ini. Semasa di Mid Valley, Tan hadiahkan dia sebelas kuntum bunga Mawar. Tanda persahabatan kata Tan. Semua warna bunga mawar dihulurkan untuk dia dan sekarang sedang digubah cantik di dalam pasu pemberian baba.
“Iyalah. Habis tu? Tan Jie Kang oi, kita dah mula berkawan semenjak kita sama-sama pergi memancing. Kemudian pergi Denai Alam dan juga semenjak you bergaduh bertumbuk dengan Huzairi. Rasanya dalam tempoh tu, ada I tolak you sebagai kawan? Tak ada kan?” Nad memberi soalan tetapi dia merumuskan untuk Tan. Sesekali dia menarik nafas, mengharapkan agar hubungan dengan Tan ini betul-betul hanya sebagai kawan. Tidak lebih dari itu, wahai Nadratul Nisa’.
Iya, Nad sudah boleh mendamaikan hati. Iya, Nad juga sudah boleh menerima hakikat bahawa, tidak ada lagi kenangan manis yang boleh dia berikan kepada mana-mana lelaki. Kalau selepas ini, baba dan mama mahu menikahkah dia dengan sesiapa pun dia akan setuju. Sampai begitu sekali kecewanya kau, Nad? Nad terkebil-kebil. Menggelengkan kepala. Hei..jangan-jangan. Kalau baba suruh dia kahwin paksa pun, dia tidak akan setuju. Dia akan kahwin dengan lelaki yang dia cintai.
Abang Nazim dan Nazrul silalah tunggu ya. Akujanji untuk adikmu berkahwin dulu nampaknya akan berlanjutan entah sampai bila. Sanggupkah menunggu adikmu ini mencari calon suami?
“Dan, selama tiga bulan sebelum I berkahwin dengan Jia Wei ni…boleh you bersahabat dan jadi kawan baik I?”
“Of course lah Tan! You ni apesal pelik sangat ni? Haha.” Nad makin galak ketawa.
Tan gumam bibir. Ketawa dan nadanya terus bersisa. Senang sekali dia mengenali si gadis melayu yang bernama Nadratul Nisa’ ini. “I nak you janji. Janji dengan I yang you akan jadi best friend forever I. Budak-budak sekarang panggil apa tu..ala…best friend forever. Kan?”
“Bff!” Nad mengekek-ngekek ketawa. Rasa hatinya sudah beransur-ansur pergi. Rasa hatinya untuk meletakkan apa-apa perasaan kepada lelaki berbeza bangsa dan agama ini dengan mudah beransur-ansur hilang. Sifatnya yang mudah menyayangi cepat-cepat dikawal rapi. Nad mula sedar diri. Nad mula rasa, antara dia dan Tan itu hanya secebis perasaan yang membawa maksud kawan.
“Haaa..Iyalah. Iyalah. Bff.”
“Okeylah Tan. Nak bff ke, mff ke, nff ke, I tak kisah pun. Nanti you kahwin, I datang. Bawa hadiah besar-besar untuk you.” Rasa kecewa yang bermukim ketika mereka di Mid Valley terus dibawa pergi.
“Nad…” Tan memanggil nama si gadis. Perlahan sahaja serunya. Wajah Nad menari-nari di tubir mata. Mudah sungguh gadis ini mengiyakan. Kalau dalam tempoh tiga bulan itu, dia betul-betul jatuh cinta dengan Nad, bagaimana?
“Iya…” Bila tadi dia cuba mengawal rentak jantung, tetapi kini dia tidak yakin kenapa jantungnya berdetak lebih kuat. Tan, silalah jangan buat saya menadah lagi hati dan jiwa yang rapuh ini. Jangan Tan!
Tan bercekak pinggang. Sesekali mata memerhati jalan raya di bawah yang lengang. “Lepas ni you akan pindah ke Cameron kan? I pun akan kahwin.”
“Iya. Betul tu. Haaa…nanti you bolehlah datang Cameron. Bawa Jia Wei ya!” Nad riang riakan diri sendiri.
Tan pejam mata. Ah- mendengar suara Nad keriangan sebegini, dia jadi terus segar bugar. Letih macam mana pun, entah kenapa dia rasa bersemangat semula. “I nak ada kenangan dengan you. Dengan si gadis melayu bernama Nadratul Nisa’. You okey ke?” Nadanya lembut sahaja.
Nad terkesima. Angin membalut tubuh. Angin sepoi-sepoi berdesing menjamah seluruh wajahnya. Rasa dihargai oleh seorang lelaki. Jangan Tan. Jangan. Kalau ada kenangan antara kita..bagaimana mahu aku meluputkan memori itu nanti Tan? Nanti jika tiba-tiba hati ini menyayangi kamu bagaimana? Jika Allah letakkan rasa sayang itu sebenar-benarnya dalam sekeping hati ini, bagaimana juga Tan?
Bibir Nad tidak menidakkan. Meski hatinya tadi mengatakan jangan. “I okey aje. Small matter lah Tan.” Berlagak biasa. Nad menarik nafas. “Eh, sebelum ni you takde kawan dengan spesis gadis melayu ke? Kenapa dengan I you beria-ia ni?”
Haha. Tan ketawa. Jujur sungguh Nadratul Nisa’ ini. “Takde Nad. Sebab I takut.”
“Dengan I? You tak takut?” Mata Nad membulat bagaikan guli. Dia pandang Bib yang menarik selimut. Amboi Bib, lena sungguh ya.
“Dengan you, I berani. Lagipun sebab I rasa you boleh berdiplomasi. Pendek kata, you tak kisah pun nak berkawan dengan I. Ada sesetengah gadis melayu ni, nak dekat dengan I pun dia takut. Keberanian you buat I suka.” Senyum. Sampai ke telinga.
“Gadis melayu bukan begitulah. I ni agaknya sebab dikecewakan oleh pemuda melayu. Sebab tu rasa nak bertukar angin aje. Ubah persepsi diri untuk berkawan dengan sesiapa saja. Termasuk you.”
“Macam yang I belajar dulu. Berkawan biar seribu. Berkasih biar satu. Kan?”Tan senyum. Jemari kiri rakus membetulkan rambut yang jatuh di atas dahi. “So, you boleh bersetuju dengan permintaan I ni kan?” Tan atur gerakannya ke tempat beristirehat. Punggung terus dia jatuhkan ke atas kerusi. Tangan kanan memeluk bantal bulat yang tersedia.
“Hmmm? Setuju? Apanya?”
“Laa..tadi kan I cakap I nak ada kenangan dengan you. So apa-apa yang I rancangkan dan programkan untuk kita berdua, you mesti setuju.”
“I nak examlah Tan. You nak ajak I pergi mana? Switzerland?” Haha. Nad ketawa. Sengaja sungguh dia demandkan diri.
“Amboi, melampaulah tu. Sampai Switzerland.” Tan sengih. Dia rasa bahagia dapat berbual dengan gadis ini. “Ala Nad, bukan selalu pun I nak ajak you keluar. Kalau tak jamin kebaikan I, you boleh aje bawak abang Nazim atau Nazrul. Mama pun takpe. Hihi.”
“Haa..nak pergi mana?” Nad mula menguap. Mata pandang bunga mawar yang masih belum sempat digubah. Balik dari Mid Valley, dia terus tidur. Penat sungguh melayan kaki Tan yang ruoa-rupanya kuat juga berjalan.
“Esok. You turunlah Seremban. I ambik you kat KTM. Then kita pergi pilih baju pengantin. Gaun untuk Jia Wei. Mesti dia suka. Sebab you bff I kan? Pilihan you mesti Jia Wei suka.” Tan jujur lagi. Tidak berselindung.
Nad senyum. Tan sudah terang-terang mengisytiharkan nama kekasih dan bakal isterinya. Sudah beberapa kali telinganya mendengar Tan menyebut nama itu. Moh Jia Wei. Dia suka bila Tan Jie Kang ini tidak merahsiakan apa-apa perkara dari dia. “Iskk, seganlah I. You pergilah sendiri. You yang nak kahwin pun. Bukan I.”
Diam. Tan tidak menjawab tetapi wajahnya keruh dari biasa. Dia hembus nafas. Sesaknya dada. Nad ni, tadi kata nak jadi bff dia. “Ala…just you and me. Jia Wei pergi Penanglah. Tiba-tiba dia kena pergi Penang sebab ada show esok. I dah janji dengan Stephanie nak datang esok. Dia pun dari dua minggu lepas asyik whatsapp, asyik call, asyik wechat, asyik sangat dia ingatkan I. I tak sampai hati. Please Nad. Please..” Tan mula memujuk. Dia yang sedang baring di atas kerusi buatan sendiri mengerut-ngerutkan dahi.
“Stephanie mesti pelik kalau I yang datang. Takapelah. You tunggu aje Jia Wei balik.”
“Dia okeylah. Ala you ni. Jomlah Nad. You baik kan?” Tan tidak mahu mengalah. Memujuk lagi gadis yang dia senangi ini.
“Pukul berapa?” Nad mengeluh. Terus pegang dahi sendiri. Apa lagi ni Tan? Apa lagi?
“Haa…pagi. Jam 10 you mesti dah ada kat KTM. Kalau settled cepat, you boleh balik awal. Nak study kan?” Tan sengih sendiri. Seronoknya rasa bila Nad sudah bersetuju. Terus Tan bangun semula dan duduk ala-ala gangster.
“Okey. So you kena bagi I satu pokok orkid untuk satu misi yang you rancangkan. Deal?” Nad sengih. Terbayang-bayang pokok orkid yang akan memenuhi taman rumah mama nanti.
“Simple sangat. Okey. Deal.” Tan sekali lagi membetulkan rambut yang jatuh ke dahi. Terima kasih Nad. Terima kasih sangat-sangat. Tiba-tiba dia mula terfikir, mana pulak dia nak mencari pokok orkid pagi-pagi buta esok?
***
“Hei. Tan Jie Kang.” Stephanie terus menyalami sahabat baiknya. Mata menjeling Nad yang terkebil-kebil. “Eh, you bawa siapa ni? Mana Jia Wei?” Stephanie menutup pintu kacanya. Kedai butik pengantinya sudah bersedia menerima kehadiran Tan.
“Penang. Dia shooting lagilah Stephanie. So I bawalah my bff. Nad.” Tan terus melangkah. Siap angkat bahu dan berjalan. Nad terus hulurkan jemarinya. Bersalaman dengan Stephanie. Stephanie hadiahkan garis senyuman. Dia terus menyimpulkan siapa Nad. Kalau bertudung, sudah semestinya Islam. Budak melayu.
Errr…semenjak bila pula Tan berkawan dengan Nad ni? Hairan betul. Jia Wei tu okey ke? Dia tahu ke Tan bawa orang lain untuk sesi memilih gaun ni. Yang nak berkahwin, Moh Jia Wei dan Tan Jie Kang. Bukan gadis ini. Dari ruang kedua kedainya, suara Tan mengejutkan kesimpulan yang telah dia buat sendiri, “I dah cakap dengan Jia Wei. Dia okey kalau Nad pilihkan. Ala, you pun tahu…Jia Wei asyik sibuk aje. Haa…mana yang cantik ni Stephanie? Tunjukkan.”
Stephanie terangguk-angguk. Terus dia membawa Nad ke ruang ketiga di sebelah kanannya. “You bagi gaun yang sesuai untuk yang bertudung ya. Nanti I akan pilih second gaun untuk Jia Wei.” Tan mengarah sudah.
Nad kerut-kerutkan dahi. Tan di dalam kereta sebenarnya sudah menyusun ayat untuk dikarangkan di depan Stephanie.
“Okey Nad. Sini. Tengok sini.” Stephanie mula menyenangi kawan Tan ini. Nampak baik sahaja. Ah, dia okey saja dengan Tan. Dia tidak pernah kisah pun kalau Tan Jie Kang mahu membawa sesiapa ke sini. Kalau dilihat bentuk tubuh Nad ini, sama sahaja saiznya dengan Moh Jia Wei. Tinggi lampai dan putih melepak pun ya. Kalau Moh Jia Wei tahu, dia pun boleh berdiplomasi untuk sesi pertama ini. Jangan hari ini pilih gaun jenis A, tiga hari sebelum majlia sebenar mahu ditukar pula gaun jenis Z. Pelanggan di kedainya ini bermacam-macam ragam. Boleh pitam dibuatnya.
Nad terus rasa kagum. Banyak betul gaun pengantinnya. Cantik-cantiknya. Bermacam warna dan fesyennya. Tetapi warna putih lebih banyak menghiasi almari besar milik Stephanie ini. Stephanie rancak memilih. Dia tahu mana yang sesuai untuk pelanggannya. “I akan pilih dua tiga helai untuk you cuba. Cutting you pun sikit lebih kurang Jia Wei. Tapi bulan lepas Jia Wei ada beritahu I, dia nak gaun yang macam mana. So I rasa you tengok yang ini. You rasa cantik tak?”
Gaun sudah ada depan mata. Stephanie menayang-nayang dengan senyuman. Tan berpeluk tubuh memerhati gerak Nad dan Stephanie. Dia rasa seronok betul melihat wajah Nad. Nad aktif memilih. Sekejap-kejap dia menoleh melihat Tan yang turut sama dilayani seorang pembantu Stephanie. Suit lengkap untuk Tan turut sama tersedia.
“Cantik. Kalau yang ni pilihan Jia Wei, I okey. Tapi boleh tak you bagi buangkan kain selapis yang berdouble di dada ni? Jia Wei mesti mahukan yang ringkas dan elegan. Kan?” Nad jujur. Menunjukkan kain satin yang melekap bersama gaun cantik itu. Dia rasa semak sungguh kalau kain satin itu ada di bahagian dada. Dua helai gaun yang turut sama tersenarai untuk dicuba diperhatikan juga. Cantik. Memang cantik.
Stephanie senyum. “Okey. I akan buang. Tapi kalau untuk you, I rasa sesuai yang ni. Gaun Jia Wei ni you cuba jugak. Then dari semua jenis gaun ni, you pilih mana yang terbaik ya.”
Angguk. Dalam sejam, mereka sudah sama-sama memilih. Sehingga Nad dan Tan Jie Kang dibawa ke kawasan persalinan. Ada banyak bilik persalinan dikhaskan untuk para pelanggan. Stephanie sesekali memerhati sahabatnya, Tan. Bola mata Tan bergerak ke kanan dan ke kiri memerhati Nad yang dikatakan bffnya itu. Renungannya bermakna sungguh. Tan, kau ni dah angau dengan gadis lain ke?
“Okey Tan. You all berdua, try dulu ya. I ambilkan lace untuk Nad. Ada kat atas. Buat macam rumah sendiri okey.” Stephanie menjamah wajah Nad. Nad memegang gaun yang perlu dia cuba. Ah – rimas.
Bila Stephanie menghilangkan diri ke atas, dia cepat-cepat pandang Tan. “Hei, you kata hanya pilih sahaja. Kenapa siap kena cuba ni?I tak naklah.”
Tan mengeluh. “Nad. Saiz you sama aje dengan Jia Wei. Jangan banyak cakap boleh tak? Masuk sebelah ni.” Dia mengambil gaun yang perlu dicuba oleh Nad. Terus laju dia melangkah dan menarik lengan Nad. Tan terus menolak Nad masuk ke dalam bilik persalinan.
“Eee…you kan, suka paksa-paksa I lah.” Nad menggigit bibir. Pandang gaun yang sudah digantungkan oleh Tan.
“Jangan banyak cakap. Cuba aje. Kunci pintu ni. Kalau tak nak… I masuk dan pakaikan. Baik you cepat.” Tan menjerkah Nad. Sengaja sungguh dia. Mahu ketawa pun ya melihat wajah Nad. “Huh!” Tan terus menarik pintu. Menutup pintu yang sekarang sedang berdirinya Nad dengan wajah cemberutnya.
“Eeee….tambah sepokok lagi orkid!” Nad menjerit.
“Okey Nad. Okey. Cepat. Kalau tak, I masuk sebelah.” Suara Tan bergema. Tan sudah berada di bilik bersebelahan dengan Nad. Tersengih-sengih Tan sambil menanggalkan tshirt yang dipakainya.
***
“Eh, you okey ke kalau I peluk Islam?” Tan tiba-tiba bertanya soalan sebegitu kepada Nad. Entah kenapa lancar sahaja dia menyoal. Sambil menyarung suit lengkap majlis perkahwinannya, dia membebel-bebel berborak dengan Nad.
“I tak yakin pun you akan peluk Islam. Lagi pulak you akan kahwin dengan Jia Wei. Lagi dua minggu. Kan?"
“Pleaselah. Lagi tiga bulan okey. Kan I kata lagi tiga bulan.” Tan pandang dinding. Nad ni, bukanke dia sudah beritahu semalam. Lagi tiga bulan.
"Haa…memang pun. I pun tak yakin sebenarnya. Nak tukar nama Tan ni pun mak dan ayah I dah bising-bising. Dulu masa I sekolah menengah I suka duduk dalam kelas Agama Islam. Kalau nak peluk Islam, banyak benda kena buat dan belajar, kan? " Tan menyambung lagi ceritanya. Semakin rasa seronok berkongsi cerita dengan Nad. Nad pun sudah rancak berbual-bual.
"Tapi kan..." Nad di bilik persalinan sebelah tersenyum. Gaun pengantin yang dipaksa cuba oleh sahabatnya ini sudah melekap cantik ke tubuh. Dia betul-betulkan tudung. Dia berjaya menarik zip belakang baju ini. Mujur badannya tidak kembang macam gajah.
Tan di sebelah bilik persalinan pantas membetulkan kot berwarna putihnya. Renung cermin. Okey, sempurna. Tan pusingkan badan dan merenung dinding yang menghalang pandangan mereka berdua. "Tapi apa?"
Nad sekali lagi memerhati tubuhnya. Cermin memantulkan wajah segar Nad. Dia senyum melihat diri sendiri. Tiba-tiba jadi kagum pula melihat perubahan diri sendiri. "Kalau betullah you nak peluk Islam, I akan letak nama you Akhtar."
Tan senyum sahaja mendengar saranan Nad. Dia pantas menolak pintu. Begitu juga dengan Nad. Mereka sama-sama keluar. Sambil keluar Nad terbongkok-bongkok memasukkan kakinya dengan sepasang kasut yang diletakkan oleh Stephanie. Bila dia memanggung kepala, Tan sedang berdiri sambil merenung dia dengan begitu aneh. Tan terus mara mendekati Nad. Kaki sebelah melutut. Kasut yang masih belum tersarung, diambil. Disarungkan untuk gadis yang bernama Nadratul Nisa’. Kasut dibetul-betulkan. Sambil itu Nad memegang gaunnya. Spontan, kakinya kini sudah tersarung.
Tan Jie Kang terus berdiri. Rasa hairan dengan perasaan yang kini membalut hati. Dia renung kasut berwarna putih yang sudah tersarung. Kemudian matanya terus menjamah wajah Nad. Tubuhnya terus tegap berdiri. Persalinan suit perkahwinan berwarna putih susu sudah menukar gaya Tan yang selalu berpakaian biasa. Nad terlongo melihat gaya rambut Tan. Diikat satu. Sedikit kemas dari hari-hari yang pernah dia tengok. Rambut kasar Tan dijatuhkan sedikit ke dahi sebelah kiri. Senang sekali Nad melihat Tan dengan gayanya yang begini.
Pipi Nad kini memerah bila dia menyedari yang Tan juga sedang memerhatikannya. Nad tiba-tiba jadi diam tanpa berkata-kata. Merenung seluar dan suit yang melekap di tubuh lelaki berbangsa Cina itu. Sebelum matanya membalas lagi renungan Tan, suara Tan menusuk ke dasar hati. “Cantik Nad. Awak cantik sangat-sangat.”
Sekali lagi, Tan memujinya. Kali ini, dia sendiri tidak pasti dengan degup jantung sendiri. Tan juga kali ini, tidak mengendahkan Stephanie yang tercengang tidak berkata apa-apa. Tan melangkah mendekati Nad.
Satu langkah. Tan keluarkan kamera dari poket suit sebelah kanannya.
Dua langkah. Dia senyum lagi.
Kini sudah tiga langkah.
Nad terpegun. Kakinya secara automatik kebelakang. Tan? Kenapa awak merenungi saya sebegitu rupa?