Quantcast
Channel: Mardihah
Viewing all articles
Browse latest Browse all 176

Mr Tan 11

$
0
0


"Jom teman I keluar." Tan sengih.
"Pergi mana?"
"Errr..kita pergi...." Sebenarnya tak tahu mana nak tuju.
"Haaa...kita pergi tengok Hari Hijau sedunia. Nak?" 
"What?" 
"Ada program cucuk tanam. Ada banyak jual pokok-pokok orkid dengan bunga. Murah-murah pulak tu. Okey?"
"Errrr......" Heh dia ni. Nak ajak makan-makan kat tempah mahal sebenarnya. Program cucuk tanam? Pun bolehlah. Nad, Nad. 
Tan senyum. Suka.
Angguk.


Nad peluk tubuh. Gigit bibir bawah dan pandang jam. Tan yang baru keluar dari kereta comelnya terkebil-kebil. “You lambat. Lambat sepuluh minit. Cepat-cepat. Jom kita gerak.” Nad berlari-lari anak menuju ke pintu sebelah pemandu.

Eh-eh dia ni. Cerita belum bermula, tiba-tiba ajak aku pergi berjom-jom pula. Tan menjeling Nad yang bergegas masuk ke dalam kereta Vivanya. Dia yang baru keluar terus masuk semula ke dalam kereta. Enjin kereta masih belum dimatikan. Mereka sama-sama tarik seat belt.  “You ni gila erk? Ni kenapa tiba-tiba ajak I keluar ni? Apa yang urgent sangat ni?”

Nad tarik nafas. Memandang lagi jam. “Kita pergi jumpa Huzairi dengan Amelia.”

“Huzairi dengan Amelia?” Tan bulatkan mata. Nyaris dia rasa mahu humbankan diri masuk ke dalam kolam besar Universiti Pertanian Malaysia ini. Buat apa pulak minah ni tetiba ajak dia jumpa Huzairi dan Ame…Ame..lia ni?

Nad angguk. “Yerp.”

“Eh..so apa kena mengena I dengan Huzairi dan Amelia ni?” Tan masih sangsi. Mata menuju ke bibir merah basah Nad.

“Ala..you jalankan aje kereta you ni. Sambil tu I borak-borak cerita kat you. Please Tan, hanya you kawan yang boleh tolong I.”

Tan kerut-kerutkan dahi. Masih blur-blur ayam dengan tindak tanduk Nad. “I bukan jadi pelakon tambahan you kan?” Tan menyimbah air ke dalam api yang sedang marak.

Nad gelengkan kepala. “Tak. Bukan pelakon. You temankan saja. Sekurang-kurangnya I ada keyakinan sikit nak berhadapan dengan Huzairi.”

“Yakin?” Tan mula bawa kereta. Lajunya boleh tahan membelah kesibukan jalan raya.

Angguk. Nad hanya angguk. Selebihnya dia tidak pernah tahu apa tujuan dia suruh Tan Jie Kang datang ke sini dan menemaninya untuk bertemu dengan Huzairi.

“Yaaaa. I rasa you akan lebih yakin sebab I temankan you. Sebab you rasa selesa bila I ada kat sebelah you. So maksudnya… you…” Tan jeling Nad. Mengukir senyuman. “You dah percayai I dan boleh terima I sebagai kawan you. Kan?”

Nak angguk ke tak nak angguk ni? Nad menyengih sambil melirik jemari Tan yang memegeng stereng. “Iyalah-iyalah. Apa-apalah. Tapi kalau you tak sudi nak temankan I, tak apa. Kebetulan pun tadi, tengok nama you dalam senarai contact. Kalau dulu I hari-hari berkepit aje dengan Huzairi. Mana ada lelaki lain berani dekat dengan I.” Nad jelirkan lidah. Heh. Dia mengaku akhirnya. Sudah terang lagi bersuluh, dulu dia hanya ada Huzairi. Hari ini, bila tercari-cari seorang kenalan untuk bentuk bantuan yang 'sebegini', dia tidak pasti mahu mencari siapa.

Yang ada tadi hanya Tan Jie Kang.

“I sudi apa. Lagi pulak ni...belum mandi. Tukar baju aje tadi, I sanggup okey.”  Tan jelirkan lidah.  Harap-harap Nad tidak terbau sesuatu yang masam.

“Ala...you busuk tak mandi pun I aje yang tahu.”

Hening. Kereta terus membelah jalan raya. Jawapan Nad buatkan Tan diam. Malu sangat sebab dia memang belum mandi. Memecut bawa kereta dan dia tahu, kalau balik masuk ke bilik lepas selesai program malam ini dengan Nad, harus dia pengsan kerana bau masam baju dan seluarnya memenuhi rongga hidung.

“So…program apa ni? Huzairi?” Tan meneka. Sambil itu bertanya. Kalau betulpun apa salahnya untuk dia menemani Nad berjumpa dengan bekas tunangnya. Adat orang melayu dia tahu serba serbi. Dari kecil sampai sekarang, dia hidup dalam lingkungan kawan-kawan melayu dan Islam.

Nad angguk. Mata menebar terus ke kaki langit yang hitam. Berani sungguh dia keluar dengan Tan Jie Kang ini. Berdua pulak tu.

“Err…” Nad telan air liur. Jungkitkan bahu. Sebenarnya dia sendiri tidak berapa pasti apa jawapan sebenar untuk lelaki di sebelahnya ini.

“Kenapa you errr…errr ni?” Tan fokus memandu.

“I pun tak tahu sebab nak berjumpa Huzairi. Tapi tadi dia call. Nak pulangkan semula barang-barang yang pernah I bagi dia. Tu aje pun. Tapi sebab ada Amelia..kalau dia bawa teman, I pun nak bawa jugalah. Kan?”

Ohh. Tan angguk. Terus bibirnya menyambung, “Barulah adil juga kan? Dia bawa Amelia, you bawa I. Kan?” Tan menyengih. Jeling Nad yang tiba-tiba diam macam nampak hantu.

Hehe. Nad pandang Tan. “Adil erk?” Jungkitkan kening double triple.

“Yup.” Angguk. Rasa nyaman sahaja suasana dalam kereta Vivanya malam ini. Tan cebikkan bibir.

“Okey. Apa-apa ajelah. Backup I okey.” Nad tarik semula lirikan matanya. Terus fokus matanya memandang persekitaran. Dari mata memandang Tan yang serba serbi mengocak seluruh perasaannya, lebih baik dia tenangkan diri pandang pokok. Eleh.

Backup? Tan terus fokus memandu. “Ada plan A dan B tak?”

Soalan dari Tan terus mencemar jiwa Nad. Hakikatnya, mampukah untuk dia bertemu empat mata dengan Huzairi selepas Huzairi memutuskan pertunangan mereka. Hakikatnya juga mampukah dia melihat Amelia duduk bahagia sebelah Huzairi. Siapa yang sengsara kalau bukan batin sendiri.

Nad gelengkan kepala. Malam terus panjang. Perodua Viva milik jejaka berdarah kacukan Cina dan Serani ini terus menjadi saksi.

***
Tan diam. Tangan sebelah Tan sikit punya baik landing terus ke kerusi yang sedang Nad duduk. Sekejap-sekejap dia pandang Nad yang terketar-ketar memandang Huzairi. Alamak, minah ni. Rileks aje lah. Kot ya pun nak sedih, sekejap lagi boleh tak?

Amelia terus terkujat sebab bila nampak Nad datang bawa seorang jejaki tinggi lampai. Alamak, dari mana dia bawa mamat gojes badan berketul-ketul sikit ni? Tinggi lampai boleh tahan. Terus rasa tercabar sebab kalau nak dibandingkan Huzairi dengan jejaka sepet ala-ala model ni, kalah Huzairi. Huzairi markah 5. Mamat sebelah Nad ni 10 markah. Amelia telan air liur bila jejaka sepet memeluk kerusi belakang yang sedang Nad duduk.

Huzairi dah bersedia. Beg besar di sebelahnya untuk Nad. Dia dah malas mahu ambil pusing siapa jejaka yang menemani Nad malam ini. “Kat bawah ni beg untuk you. Penuh semua barang-barang you. Nanti bawa balik. Itu aje.” Huzairi terus menikmati secangkir air kopi tarik yang disukainya. Mempelawa Nad dan jejaka bermata sepet ini jauh sekali.

“You buang ajelah. I malas.” Nad membalas.

“Hello. I tak nak dia buang. You ambik dan you buang sendiri. Faham?” Amelia butangkan biji mata. Menyirap pula dia melihat Nad sebegini.

“You lah buang semua benda ni, Amelia. Sebab you kutip dia dari I. Tak kuasa aku nak buang benda-benda ni.” Nad rasa puas hati dapat bermain-main api dengan dua malaun di depan matanya ini. Berbalas serangan begini, kadang-kadang rasa puas hati kan? Sabar Nad, sabar. Dia pandang jemari runcing Amelia yang sedang diramas-ramas oleh Huzairi. Ah- menyirapnya. Kalau dia yang membuangnya semua hadiah di depan mata nanti, haruslah dia menangis sampai matanya membengkak. Bib juga nanti yang susah hati memujuknya. Bagaimana harus dia buang kenangan yang lalu itu? Bagaimana Nad?

“Nad. I kutip dia pun sebab Huzairi yang terhegeh-hegeh nakkan I. Then you patut tahu, yang ada banyak kekurangan kat you tu dan sebab tu Huzairi datang cari I.” Amelia memetir. Puas hati dia dapat bertegang urat dengan Nad, bekas tunang Huzairi ini.

“Kekurangan apa?” Nad tepuk meja. Rasa ketidakpuasan hatinya menyala-nyala kala ini. Huzairi terdiam. Mati kutu melihat tahap kemarahan Nad sebegini. Nad terus pantas berdiri. Tan pula turut berdiri bersama-sama Nad. Alamak, semua mata sudah memandang mereka kini. Ini kedai mamak, Nad. Sabar Nad. Sabar. Tan terus bergegas mengambil beg di bawah meja.

Jemarinya tangkas. Menarik lengan Nad. Dari mereka bergaduh depan orang ramai, lebih baik dia mendamaikan. Kaki mereka berjalan laju. “Hei, lepaskan tangan I Tan! Lepas.”

“Kita baliklah. Dahlah. I akan buangkan. Bukan you.” Tan memujuk. Fasal barang penuh satu beg ini pun nak bergaduh. Peliknya dia.

“You patut tahu, sebenarnya Huzairi tu kaki perempuan. Dasar lelaki tak tahu malu, lelaki jenis apa dia tu? Jenis tak boleh nampak perempuan kaya. Pengikis!!!” Nad menjerit kuat. Huzairi yang sedang enak duduk, terus bangkit. Mara ke arah Tan dan Nad. Nad entah kenapa, air matanya mengalir-ngalir. Detik itu juga dia dan Tan tegak berdiri. Mata berpadu sambil Tan menarik nafasnya perlahan-lahan.

“You cakap apa tadi?” Huzairi sudah terpacak. Mereka sedang memandang di antara satu sama lain.  Huzairi dongakkan kepala. Mata melirik melihat Jemari Tan yang sedang memegang lengan Nad.

Amelia kelam kabut berlari ke arah mereka bertiga. Sungguh dia tidak sabar melihat Huzairi melempang Nad. Perempuan tak tahu malu betul.

Nad genggam jemarinya. “You pengikis!” Air matanya berderai-derai. Sungguh. Hari ini, baru dia tahu Huzairi memang betul-betul sudah tidak menyayanginya lagi. Huzairi sudah ada Amelia. Huzairi sudah dapat emas. Berbanding dengan dia..dia tahu, Amelia itu lebih cantik. Lebih tinggi dan berkedudukan.

“You kaki perempuan!!! Puas hati?” Nad menjerit kuat.

Serentak itu juga, Huzairi mengangkat tangan. Melempang Nad sehingga tubuh Nad jatuh terduduk. Tan mencampak beg. Automatiknya, jemarinya berpadu. “Kau pukul perempuan sebab tu aje? Sebab dia kata kau kaki perempuan? Nonsense! ”

Satu pukulan padu tepat mengenai rahang Huzairi. Amelia terpempan. Jejaki bermata sepet ini mendahului dalam serba serbi. Huzairi terus jatuh terduduk. Kedai mamak terus hingar bingar kerana aksi mereka berdua. “Ni yang aku tak puas hati ni!!!” Huzairi bangkit. Terus ke arah Tan yang sedang bersedia.

Tan cuba mengelak. Tetapi tubuhnya terlebih dahulu dijatuhkan dan tumbukan padu dari kekuatan Huzairi berpadu. Zuppp! Tan terus terasak ke hujung longkang. Nad segera bangun mara ke arah Tan. Darah bersembur keluar. Memercik.

“Tan!” Nad menjerit memaksa Tan untuk beralih arah.

“Kau tepi Nad!” Huzairi melangkah lagi.

Tan terus bangkit. Kurang ajar betul mamat melayu ni. Sudahlah berani dia menampar seorang perempuan. Dia terus menuju ke arah mangsanya. Mara sekali lagi dan belum sempat Huzairi menumbuk perutnya, Tan terus memadukan pukulannya dan hinggap terus ke rahang sebelah kanan pula. Tepat. Padu. Jitu. Sekali lagi, Tan menumbuk pula sasaran paling disukainya. Perut huzairi ditujah dengan kaki. Sekali lagi juga ditumbuk padu. Berkali-kali.

Angin bagaikan menjadi kekuatan. Berhembus pilu sambil Amelia terjerit-jerit menarik Huzairi yang sedang longlai dikerjakan oleh Tan. Nad terus berjalan laju. Menarik Tan supaya bergegas melarikan diri.
“Hei…sudahlah!! Tan!!!” Nad bagaikan orang gila. Kedua mereka meleraikan pergaduhan paling bersejarah. Nad menarik tubuh Tan. Secepat kilat dia membawa jemarinya ke arah pinggang Tan.

Huzairi sudah terbaring sambil Amelia menjerit-jerit. “Bodoh. Pergi baliklah! Kau dua orang pergi balik. Balik aku kata!”

Nad segera mengecimpung tubuh Tan yang tetap longlai. Bertahan Tan! Bertahan. Dia menyapu darah yang mengalir di bibir. Tiga pukulan padu Huzairi tetap menderitakan urat dan sakitnya memang boleh tahan.

“Jomlah kita balik.” Nad menyeka air matanya sendiri. Jemari kiri terus mengambil beg yang dicampak tadi. Suara Amelia menangis mengusik gegendang telinganya. Bertubi-tubi bayangan tumbukan padu Tan ke arah rahang Huzairi. Menjelma di sebalik visual mindanya.

Dia tidak pasti apa rasa hatinya. Dan Nad sendiri tidak tahu kenapa, dia menangis sahaja sepanjang perjalanan membawa Tan ke kereta. Beberapa minit berlalu dan selepas masuk ke dalam kereta, Nad mencari tisu di belakang kereta Tan.

Tan bersandar lesu. Dia memandang kaki langit yang masih memekat hitam. Nad di sebelahnya, menarik tisu. Perlahan-lahan dia mendekatkan diri. Mengesat-ngesat hujung bibir Tan yang masih berdarah.

Tan diam. Nad juga. Pipi Tan yang lebam dan ada sedikit luka di bawah mata, turut sama dia kesat. Nad perlahan-lahan mengelap darah yang mengalir. Sekejapan kemudian, Nad mencari sebotol air. Oh, ada. Nasib baik ada mineral water di dalam kereta Tan. Pantas, diberikan air kepada Tan.  Air mata Nad mengalir-ngalir membasahi pipi.

Tan menjelingnya. “Hei, apesal you menangis ni?” Tan gelengkan kepala. Tanda tidak mahu menikmati air. Entah kenapa dia rasa penat sangat. Lelah juga bertarung dengan Huzairi tadi. Mahu juga dia ketawa. Entah mana datang kekuatan pun dia tidak pasti.
Nad gelengkan kepala. Jemarinya masih sudi mengesatkan darah di hujung bibir Tan. Seketika hening sahaja episod pertemuan ini.

Tan membawa matanya. Menyeluruhi wajah Nad yang pernah dia sukai. Sampai dia tidak menyangka, Tuhan kabulkan doanya untuk berkenalan dengan gadis ini. Mata terus menjamah bibir basah Nad yang juga berkesan darah di hujungnya. Kotak tisu yang berada di jemari kiri Nad, terus dia pandang.

Tan terus mengambil beberapa helai tisu. Menaikkan sedikit badannya. Ironinya, mereka kini di dalam kereta. Dalam keadaan yang sungguh menyanyat hati. Dramatik sungguh pergaduhan  antara dia dan Huzairi tadi. Seperti drama pun ya, Tan!

Bila Nad sudah selesai mengesat darahnya, dia perlahan-lahan bawa jemari. Helaian tisu terus diletakkan di hujung bibir Nad. “You pun ada darah ni. Kat sini.”

Nad terkebil-kebil. Aroma jiwa sedang berlagu-lagu syahdu. Oh, baiknya dia. “Itulah…lain kali you jangan marah orang lelaki macam tu. Dia tercabar kot.” Tan senyum. Sambil itu dia mengesat-ngesat lagi hujung bibir merah Nad. Tan cuba berlagak biasa, walhal jantungnya sedang berdegup-degup kencang. Nad, comelnya awak.

Air mata Nad merembes-rembes lagi. Entah kenapa. Rasa bodohnya tindakan dia. Rasa macam malu sungguh dengan Tan disebabkan oleh dia.

“I mengantuk sangat-sangat ni. Penat sangat kerja sampai tengok lima rumah yang belum siap renovate tadi. I pun penat giler drive dari Senawang sampai Serdang. Then, tambah penat bila I bertumbuk dengan Huzairi. You nangis dulu. Dah puas menangis, kejutkan I ya.” Tan letak tisu yang penuh berdarah atas ribanya. Kepala automatik rebah atas seat back. Sebenarnya dia sedang melawan debarannya yang berganda-ganda ini.  Lagi pula, semasa mengesat darah di hujung bibir Nad beberapa saat yang tadi.

Kepala Tan berpusing-pusing. Kenapa pula perlu Nad menangis? Sebab menyesal marahkan Huzairi? Sebab jatuh kasihan pada aku? Errr…sebab dia perempuan dan memang perempuan itu mudah menangis? Begitu? Makaroni betullah.

Esakan Nad terus menari-nari masuk ke dalam gegendang telinga. Mata Tan terpejam rapat. Betul, dia amat penat. Enjin kereta menjadi teman. Angin sejuk dari penghawa dingin turut sama bersahabat dengan mereka. Entah jam berapa, mata mereka berdua tidak menghiraukan.

Sehingga Nad juga terus terlena. Tisu juga menjadi saksi dan berlambak-lambak di bawah kaki. Angin memeluk tubuh kedua mereka. Lesu dan kedinginan malam mengigit sampai ke tulang.

***
“Nad…” Dia memanggil perlahan. Dengan harapan Nad bangun segera. Tetapi sepi sahaja.

“Nad…” kali kedua panggilannya tidak bersahutan juga. Nad tidur dengan lena. Tan terus mengunci pintu. Mula mahu menurunkan brek tangan. Tetapi dia menjeling sekejap wajah pulas Nad yang sedang nyenyak tidur.

Senyum. Sesekali Tan memerhati kaki langit. Bintang malam ini entah tiba-tiba bertabur-tabur di kaki langit. Bukankah bintang semakin merajuk memunculkan diri? Dia memandang lagi wajah gadis di sebelahnya ini.

Senyum lagi. Tan telan air liur. Kalau Nad buka tudungnya ni, dia mesti lagi comel dan cantik kan?

Tan senyum lagi. Sampai nampak gigi. Hello…hello….helloo……Bintang terus menyinari. Hati terus rasa tiba-tiba ingin menyayangi.

Nad...hatinya berbisik. Sendu rasa seluruh anggota jiwa.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 176